Sunday, November 10, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 penerima Biasiswa Chevening diraikan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Seramai tiga orang penerima program Biasiswa Chevening diraikan dalam Majlis Resepsi Chevening yang diadakan di Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam pada 3 September lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, di sini, majlis yang dihoskan oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Alexandra McKenzie dihasratkan untuk meraikan pencapaian penerima biasiswa Chevening dari Brunei sebelum mereka berlepas mengikuti pengajian di United Kingdom.

    Hadir sama di majlis resepsi berkenaan ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin; Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pertahanan, Poh Kui Choon; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh; Ketua Eksekutif AITI, Haji Jailani bin Haji Buntar serta pegawai-pegawai kanan, para penerima biasiswa Chevening dan ahli keluarga mereka serta alumni Chevening.

    Dalam kata alu-aluannya di majlis berkenaan, PYT Alexandra McKenzie merakamkan perasaan kagum kepada para penerima biasiswa atas ketekunan dan keupayaan mereka untuk menyesuaikan diri.

    Pada majlis berkenaan, PYT Alexandra McKenzie telah memperkenal tiga orang penerima biasiswa Chevening yang diraikan iaitu Umair Akmal Haji Noor Ahsffian yang mengikuti program MSc in Climates Futures: Science, Society and Politics di Leeds University, Dr Chiao Yuen Lim yang mengikuti program MSc in Health Data Analytics and Machine Learning dan Jasmine Kistin Wong Mei Yik yang mengikuti program LLM in Law and Technology di Queen’s University Belfast.

    PYT Alexandra McKenzie bersama salah seorang penerima biasiswa yang diraikan.
    Gambar ramai antara PYT Alexandra McKenzie, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi, Poh Kui Choon, Dr Chin Wei Keh dan para penerima biasiswa.

    Beliau menyatakan kegembiraannya apabila berpeluang untuk meraikan pencapaian para penerima biasiswa berkenaan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik tetapi juga telah menerima pertukaran budaya yang kaya yang ditawarkan oleh program Chevening berkenaan.

    Ia membuktikan kerjasama berkekalan antara United Kingdom dan Negara Brunei Darussalam serta beliau percaya para penerima biasiswa akan terus menjadi ejen perubahan positif dalam komitmen mereka.

    PYT Alexandra McKenzie juga merakamkan penghargaan kepada alumni Chevening yang hadir dan mengambil maklum akan penglibatan berterusan serta sokongan bagi program yang amat berharga dalam memupuk pemimpin generasi akan datang.

    Sesi rangkaian turut diadakan di mana para penerima biasiswa, alumni dan para jemputan berpeluang untuk berkongsi pengalaman, pandangan serta aspirasi mereka.

    Gambar ramai antara yang hadir pada majlis berkenaaan. – GAMBAR SERAHAN SURUHJAYA TINGGI BRITISH
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda