3 penyeludup dadah selamat selepas kapal karam

BOGOTA, 2 OKT – Tiga orang disyaki penyeludup dadah dilaporkan selamat selepas terapung selama berjam-jam di perairan Pasifik yang dipenuhi ikan jerung, selepas berpaut pada bongkah kokain.

Jurucakap Pasukan Petugas Penyeludupan Dadah Colombia, Kapten Jorge Maldonado memberitahu AFP, tiga rakyat Colombia itu dipercayai menyeludup 1.2 tan kokain dari Tumaco, Colombia, apabila kapal milik mereka karam akibat dilanda ombak.

Katanya, ketika diselamatkan oleh kapal pengawal pantai Colombia di kawasan terletak 30 batu nautika dari Tumaco, mereka disyaki sudah berada kira-kira lapan jam di laut.

“Ketika pengawal pantai tiba, mereka melihat ketiga-tiga lelaki itu sedang terapung sambil berpaut pada bongkah dipercayai dadah,” kata Moldonado. – AFP