3 perusahaan bentang idea

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Darussalam Enterprise (DARe), baru-baru ini, telah mengadakan sesi pembentangan bagi peserta-peserta Program Accelerate DARe yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Kampung Anggerek Desa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DARe, di sini, hadir semasa sesi pembentangan pada 4 Julai lalu berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Javed Ahmad, mentor-mentor dari Brunei Mentors for Entrepreneurs Network (BMEN), Nicky Wong dan Jeffrey Low serta Rakan Kongsi Pengurusan Pasaran Antarabangsa, Golden Equator Group, Adam Flinter, iaitu pemudah cara Program Accelerate DARe.

Sebelum sesi pembentangan itu, Javed Ahmad berkongsi bahawa walaupun dalam keadaan mencabar, perusahaan-perusahaan tidak harus berputus-asa dalam terus mendapatkan pelaburan.

Beliau menyatakan bahawa selagi perusahaan dan perniagaan mempunyai pengurusan berkualiti baik dan mampu untuk menyesuaikan diri kepada normal baharu, perusahaan dan perniagaan berkenaan berpotensi untuk mendapatkan pembiayaan di mana mereka mampu untuk menunjukkan prestasi yang baik dalam keadaan yang baik dan juga tidak baik.

Kenyataan menyatakan bahawa daripada 25 peserta, tiga perusahaan baharu teratas diberikan peluang untuk membentangkan mengenai idea perniagaan mereka kepada pelabur-pelabur serantau yang berpangkalan di Singapura.

Nicky Wong dan Jeffrey Low yang hadir selaku hakim pada sesi pembentangan berkenaan. – Gambar serahan DAReNicky Wong dan Jeffrey Low yang hadir selaku hakim pada sesi pembentangan berkenaan. – Gambar serahan DARe

Perusahaan-perusahaan berkenaan ialah Ameenfarm yang sedang berusaha untuk mentransformasikan ladang seluas 4 hektar menjadi sebuah pusat pertanian, Yuwal iaitu e-dompet yang mampu berfungsi secara mudah alih atau sebagai kad debit fizikal serta Al-Huffaz Management iaitu penyedia pendidikan Al-Quran di Negara Brunei Darussalam.

Salah seorang hakim pada sesi itu, Adam Flinter berkata bahawa kumpulan peserta program kali ini memberikan prestasi yang baik dan yakin bahawa sebilangan besar mereka berupaya untuk membangunkan perniagaan yang baik pada masa akan datang. Beliau juga amat bangga dengan kumpulan peserta yang menunjukkan semangat keusahawanan yang tinggi kerana mereka mampu untuk mengubah perniagaan dan pendekatan mereka dengan menggunakan masa yang diberikan untuk melakukan kaji selidik serta mencari kaedah lain untuk menjana pendapatan semasa dilanda oleh pandemik COVID-19.

Perkembangan positif lagi, ulasnya, adalah mereka yang menghadiri sesi pembentangan itu, tidak lagi melahirkan perasaan terkejut bahawa syarikat atau perusahaan baharu Brunei mampu untuk menjana idea-idea menarik serta mampu untuk memberikan pembentangan dengan penuh keyakinan. Semua itu, jelasnya, menunjukkan bahawa usaha untuk memajukan ekosistem perusahaan baharu di Brunei membuahkan hasil.

Kenyataan menyatakan bahawa apabila larangan perjalanan ditarik balik, tiga buah perusahaan berkenaan akan membentangkan mengenai perusahaan dan idea mereka di Singapura bersama-sama tiga perusahaan terbaik kumpulan peserta program yang baharu.

Ia akan diumumkan kepada orang ramai melalui saluran media sosial DARe dan akan memberikan peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan sendiri pembentangan mereka kepada panel bakal-bakal pelabur secara langsung.

Program Accelerate yang dahulunya dikenali sebagai Startup Bootcamp, bermula pada 2016 dan merupakan program pembangunan perusahaan baharu selama 100 hari yang meliputi asas menubuhkan dan mengembangkan sesebuah perusahaan atau perniagaan dan pada masa yang sama, membimbing perusahaan baharu itu melalui penyelidikan pasaran bagi mengenal pasti keunikan mereka serta membangunkan model perniagaan yang inovatif.

Secara keseluruhannya lebih daripada 100 perusahaan atau perniagaan baharu telah menamatkan program berkenaan dan telah mendapatkan lebih AS$1 juta dalam pelaburan dan menjana lebih 450 pekerjaan.