3 pili rosak hambat operasi anggota bomba

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Sebuah rumah dua tingkat musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Sungai Hanching, pagi tadi, bagaimanapun tiada korban jiwa dilaporkan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataannya menjelaskan bahawa panggilan mengenai kejadian tersebut telah diterima pada pukul 8:34 pagi dengan 10 orang anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Lambak Kanan dan bantuan air tangki dari Balai Bomba Beribi dikejarkan ke insiden berkenaan.

Operasi diketuai oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi C, SSFR Pengiran Azizul Rahman bin Pengiran Haji Yusop.

Menurut kenyataan, apabila anggota bomba tiba di tempat kejadian, api besar telah membakar keseluruhan rumah berkenaan yang diperbuat daripada kayu di bahagian atas dan konkrit di bahagian bawah di mana bahagian bawah rumah berkenaan disewakan kepada seorang lelaki berbangsa Cina warganegara tempatan.

Anggota bomba dan penyelamat bertindak memadamkan kebakaran dengan mengeluarkan lima hos dan menggunakan dua aliran control dividing breeching dengan air diperoleh daripada jentera bomba di mana api dapat dikawal dalam masa lapan minit.

Sebuah rumah dua tingkat terbakar dalam kejadian yang berlaku di Kampung Sungai Hanching, pagi kelmarin.
Anggota bomba dan penyelamat bertindak memadamkan kebakaran pada rumah dua tingkat di kawasan Kampung Sungai Hanching.

Kenyataan menyatakan bahawa pemilik rumah berkenaan ialah seorang lelaki tempatan berbangsa Melayu dengan kerugian masih disiasat.

Kenyataan turut menyatakan bahawa kesulitan yang dihadapi semasa operasi ialah sebanyak tiga pili bomba yang terdapat berdekatan kejadian mengalami kerosakan dan aliran elektrik masih lagi terpasang.

Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai untuk memastikan mana-mana suis peralatan elektrik ditutup selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah serta jangan sesekali meninggalkan masakan di dapur tanpa diawasi dan jika terdapat kebocoran pada gas pastikan jendela dan pintu dibuka bagi pengudaraan.

Mereka juga disarankan untuk memastikan untuk mengikut piawaian yang betul dan syarikat yang diiktiraf jika hendak menggantikan atau memasang mana-mana kabel atau pun wayar elektrik di rumah mereka serta untuk melaporkan kepada pihak yang berkenaan jika mendapati kerosakan pada pili-pili bomba yang berdekatan.

JBP juga menyarankan orang ramai untuk terus meningkat kewaspadaan dan lebih peka dalam mengetahui aspek keselamatan kebakaran bagi menghindarkan kejadian kebakaran serta untuk memastikan kediaman mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan seperti alat pemadam api ringan jenis debu kering dan selimut api.