3 polis mati ditembak, seorang cedera

LYON, 23 DIS – Tiga pegawai polis ditembak mati dan seorang lagi mengalami kecederaan di tengah Perancis hari ini selepas dipanggil untuk meleraikan kekacauan domestik, menurut sumber pejabat pendakwa raya.

Misi mencari suspek masih dijalankan, seorang lelaki berusia 48 tahun yang melarikan diri dari kawasan kejadian.

Pegawai-pegawai tersebut ditembak ketika mereka cuba menyelamatkan seorang wanita yang berada di dalam rumah di kawasan perkampungan terpencil berhampiran Saint-Just bandar selatan Clermont-Ferrand.

Polis menghampiri rumah tidak lama kemudian selepas tengah malam dan menjadi sasaran tembakan.

Lelaki tersebut melepaskan tembakan dan membunuh seorang pegawai manakala mencederakan seorang lagi, sebelum membakar rumah tersebut.

Dua lagi pegawai yang memberi tindak balas terhadap kejadian, kemudian ditembak dan terbunuh, menurut pejabat pendakwa raya di Clermont-Ferrand.

Wanita tersebut berjaya diselamatkan dan sedang disoal siasat oleh polis.

Anggota polis bantuan segera bergegas ke tempat kejadian, dan kesemua laluan menuju rumah tersebut ditutup. Anggota bomba turut berada di kawasan kejadian untuk mengawal kebakaran.

Lelaki bersenjata tersebut dikatakan dikenal pasti oleh pihak berkuasa atas dakwaan berkaitan dengan isu penjagaan anak. – AFP