3 suspek kes culik ditahan reman

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Tiga suspek warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kes culik telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan, hari ini.

Mahkamah mengarahkan kesemua suspek yang berusia antara 19 hingga 39 tahun itu untuk ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Kes terbabit disiasat oleh Unit Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) di bawah Seksyen 363 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu kesalahan menculik yang boleh membawa hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda.

Terdahulu, laporan mengenai kes tersebut telah dibuat di Balai Polis Bangar, Daerah Temburong pada 9 Julai dan hasil kerjasama daripada keanggotaan Balai Polis Bangar, dan Balai Polis Berakas, ketiga-tiga suspek berjaya ditangkap.