3 syarikat bebas pertuduhan

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Mahkamah Majistret di sini, kelmarin, telah membebaskan tiga buah syarikat selepas perbicaraan, daripada pertuduhan yang mendakwa kegagalan mereka menyediakan tempat kerja selamat telah menyebabkan kematian seorang pekerja.

Kes terhadap syarikat-syarikat sendirian berhad, Kenyalang Marine Offshore (KMO), QESS Energy Support Services dan QESS USV, itu adalah pendakwaan seumpamanya yang pertama di bawah Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja 2009 dan Perintah Perkapalan Pedagang 2002.

Dalam salinan penghakiman 35 halaman yang diserahkan oleh Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Abdul Rahman pada 14 Julai lalu, antara lain menyatakan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes terhadap syarikat-syarikat berkenaan atas dakwaan menyebabkan kematian pekerja berkenaan pada 3 Disember 2016.

Penghakiman juga menyatakan fakta yang tidak dapat dinafikan di mana kakitangan berkenaan berada di atas kapal dikenali sebagai QESS USV 1 sebagai pekerja Emas
Laut.

KMO telah dilantik oleh QESS USV sebagai pengendali kapal berkenaan mengikut perjanjian Shipman 2009. QESS USV adalah pemilik USV1.

KMO kemudian melantik Ashber Offshore sebagai subkontraktor dan Ashber pula telah melantik Emas Laut sebagai subkontraktornya.

Pekerja berkenaan adalah kru marin di atas kapal berkenaan dan selain daripada itu, terdapat penumpang di atas kapal tersebut, yang merupakan kru QESS di bawah QESS ESS.

Kru QESS berkenaan dibawa ke platform-platform luar pantai bagi kerja-kerja pengecatan sebagai sebahagian daripada kontrak antara QESS ESS dan Syarikat Minyak Brunei Shell menggunakan USV 1 setiap hari.

Di atas kapal berkenaan juga terdapat bahan-bahan perancah termasuk dua jenis papan, satu jenis digunakan sebagai sebahagian daripada perancah dan satu lagi sebagai papan untuk meletakkan bahan-bahan perancah berkenaan di atas kapal.

Bahan-bahan perancah berkenaan diletakkan di atas papan tersebut untuk memudahkan pemunggahan.

Pada malam 3 Disember 2016, USV 1 telah berlabuh di Jeti Rasau di Sungai Belait sebagai kapal kedua yang berlabuh. Kapal pertama yang berlabuh adalah QESS USV 2.

Walaupun terdapat laluan yang disediakan oleh pengeluar kapal untuk pergerakan manusia mengikut sistem pe-ngurusan keselamatan, pekerja berkenaan mengambil salah satu papan di atas USV 1 dan meletakkannya di antara USV 1 dan USV 2.

Dia menaiki papan berkenaan untuk menyeberang ke USV 2 tetapi papan itu patah dan pekerja berkenaan terjatuh ke Sungai Belait dan lemas. Mayatnya ditemui di tebing sungai berdekatan.

Pendakwaan, dijalankan oleh timbalan-timbalan pendakwa raya Aminuddin Zaki DP Abdul Rahman, Dr Hussin Ali Idris dan Atiyyah Abas, telah memanggil para penyiasat dan pakar dari Pasukan Polis Diraja Brunei, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam serta Pihak Berkuasa Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar untuk memberikan bukti mereka di samping kru di atas kapal, pihak pengurusan dari ketiga-tiga syarikat berkenaan dan seorang lagi dari QESS ES sebagai saksi-saksi pendakwaan.

Mahkamah mendapati bahawa papan berkenaan digunakan berbanding laluan yang disediakan kerana para pekerja terlalu malas untuk memasang laluan berkenaan walaupun mereka tahu bahawa prosedur keselamatan memerlukan mereka melakukannya dan penggunaan papan berkenaan tidak diketahui oleh ketiga-tiga syarikat tersebut.

Tiada laporan pelanggaran prosedur kesihatan dan keselamatan juga dibuktikan kepada mahkamah dan mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa syarikat berkenaan telah gagal menjalankan tanggungjawab mereka dalam memastikan amalan-amalan selamat dipatuhi di atas kapal pada setiap masa.

Peguam bela Ahmad Basuni Abas mewakili KMO manakala itu, peguam-peguam bela Eric Siow dan Jonathan Cheok mewakili kedua-dua syarikat QESS.