3 terlibat kegiatan curi bersiri ditahan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Tiga lelaki berjaya ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan curi bersiri yang berlaku di beberapa kawasan di Daerah Brunei dan Muara.

Hasil siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Pecah Rumah dan Curi Kereta, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama anggota detektif dari Balai Polis Berakas dan Sengkurong, penahanan ke atas suspek-suspek berkenaan telah membawa kepada penemuan barang-barang bukti hasil daripada kegiatan jenayah curi yang dilakukan semasa.

Di samping itu, sebanyak 17 kertas penyiasatan telah dikenal pasti dipercayai mempunyai keterlibatan kegiatan suspek yang dilaporkan di balai-balai polis sebelum ini.

Penahanan suspek tersebut juga berpunca daripada maklumat yang diperolehi daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi daripada kejadian curi yang berlaku di kawasan Jalan Lambak Kiri, Pasir Berakas 4 November lalu.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379, 454 dan 457 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 yang membawa kepada hukuman pemenjaraan dan juga hukuman sebat.

Sehubungan dengan itu, PPDB mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang diberikan orang ramai kepada pihak polis dalam mengongsikan serta menyalurkan maklumat-maklumat penting dan bernilai berkaitan dengan kegiatan-kegiatan jenayah.

Dengan kerjasama ini, ia akan seterusnya membantu dan melancarkan lagi penyiasatan kes sehingga penjenayah-penjenayah dihadapkan ke muka pengadilan bagi pendakwaan.

Penemuan barang bukti daripada kegiatan jenayah curi. – Gambar serahan PPDB