3 warga NZ maut akibat tanah runtuh di Korea Selatan

SEOUL, KOREA SELATAN, 4 OGOS – Tiga warga New Zealand maut selepas tanah runtuh dicetuskan hujan lebat memusnahkan dan menguburkan kotej percutian mereka dekat Seoul, kata pegawai Korea Selatan, hari ini.

Mereka antara 14 orang di Korea Selatan yang terkorban dalam bencana tanah runtuh dan banjir disebabkan hujan berterusan sejak Sabtu, menurut Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Keselamatan.

Seorang pegawai kementerian mengesahkan tiga rakyat New Zealand sebagai wanita berusia 77 tahun, anak perempuannya berusia 36 tahun dan cucunya berusia 2 tahun.

Pegawai mengatakan mereka ditemui maut kelmarin di kotej percutian mereka di Gapyeong, timur laut Seoul. Polis mengesahkan kematian tiga warga New Zealand itu.

Setakat ini, banjir disebabkan hujan lebat di Korea Selatan telah mengorbankan 12 orang dan lebih 1,000 kehilangan tempat tinggal. Sementara 14 yang terkorban dan kediaman musnah dilaporkan berlaku di Seoul, bandar berdekatan dan wilayah tengah Chungcheong. – AP

Perkhidmatan penyelamat membantu penduduk yang terjejas banjir di sebuah kampung dekat Cheonan, Korea Selatan susulan hujan lebat, 3 Ogos. – AFP