3 warga Vietnam diberkas

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Tiga warga Vietnam iaitu dua wanita dan seorang lelaki telah diberkas kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti dan kegiatan tidak bermoral di sebuah hotel di Mukim Gadong.

Mereka ditahan semasa serbuan yang dijalankan oleh Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat dan Unit Pecah Rumah dan Curi Kereta dari Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), hari ini.

Dua suspek wanita bernama Pham Thi Lan Huong berumur 38 tahun, Nguyen Hoa Hong Dieu, 29, dan seorang lelaki bernama Dau Ngoc Tuyen, 37, didapati telah menggunakan pas pelawat bagi memasuki negara ini.

Semasa serbuan tersebut, pihak polis telah menemukan beberapa bahan bukti di lokasi tersebut dipercayai untuk tujuan kegiatan menawarkan khidmat seks.

Kesemua suspek dan bahan bukti dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.

PDB akan sentiasa membuat pemantauan dan akan menjalankan tindakan yang tegas terhadap mana-mana kegiatan negatif untuk menjadikan negara ini bebas dan bersih daripada sebarang gejala yang boleh mencemarkan nama baik dan kesejahteraan sejagat.