Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    30-50% kematian akibat kanser boleh dicegah

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Pada 2021, terdapat 294 kematian akibat penyakit kanser dan sebanyak 682 kes baharu telah dikesan menghidap penyakit kanser pada tahun berkenaan di Negara Brunei Darussalam menurut statistik yang diperoleh daripada Daftar Kanser Negara Brunei Darussalam (BDCR).

    Jenis-jenis kanser yang lazim terjadi di Brunei bagi golongan lelaki kekal sama iaitu kanser kolorektal sebanyak 64 kes, kanser prostat sebanyak 35 kes dan kanser paru-paru sebanyak 26 kes.

    Manakala bagi golongan wanita pula, kanser yang paling lazim adalah kanser payudara sebanyak 104 kes, kanser kolorektal sebanyak 53 kes, kanser rahim sebanyak 38 kes dan kanser ovari sebanyak 33 kes.

    Perangkaan itu dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Kanser Sedunia 2023.

    “Setiap tahun, 10 juta orang meninggal dunia disebabkan oleh penyakit kanser di seluruh dunia.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan dalam perutusannya menyatakan tanggal 4 Feb-ruari, Hari Kanser Sedunia disambut untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu berkaitan dengan penyakit kanser. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan

    “Jumlah ini dijangka akan meningkat kepada 13 juta pada 2030 jika tidak ada tindakan yang diambil dari segi pencegahan dan pengawalan,” tambahnya.

    Yang Berhormat Dato dalam perutusan itu menyatakan setiap tahun pada tanggal 4 Februari, Hari Kanser Sedunia disambut untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu-isu berkaitan dengan penyakit kanser dan untuk mengambil tindakan bagi mencegah, mengesan, merawat serta mengurangkan kesan kanser.

    Hari Kanser Sedunia 2023 adalah tahun kedua daripada kempen selama tiga tahun yang bertemakan ‘Menutup Jurang Penjagaan’ iaitu berkisarkan isu ekuiti.

    Beliau menerangkan tema pada tahun kedua itu, adalah lebih kepada menyatukan individu dan organisasi, penyokong dan penggubal dasar dalam menyeru perubahan dan mengambil tindakan.

    Dalam masa yang sama, sambutan juga meraikan kemajuan yang telah dicapai, bukan sahaja kemajuan dalam bidang perubatan malahan meraikan tindakan kecil yang memberi impak signifikan seperti membantu orang terdekat dari segi sokongan psikologi, sumbangan tenaga seperti pengangkutan untuk ke pusat rawatan kanser, memastikan pilihan makanan sihat yang berpatutan ditawarkan di sekolah atau menggunakan hashtag #worldcancerday dalam media sosial untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dan sebagainya.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menyatakan kira-kira 30 hingga 50 peratus daripada kematian akibat kanser boleh dicegah dan ia dikaitkan dengan beberapa tingkah laku dan amalan berisiko.

    Di peringkat individu, orang ramai dinasihatkan untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan mengambil langkah-langkah seperti berhenti merokok dan mengelakkan dari terdedah kepada asap rokok, mengekalkan berat badan yang sihat secara konsisten, mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang termasuk memastikan cukupnya (dua hingga tiga bahagian) pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari dan mengurangkan diet berlemak yang berlebihan serta meningkatkan aktiviti fizikal iaitu mengingati ‘30 dalam 5’ iaitu kira-kira 30 minit dalam sehari, lima kali atau lebih dalam seminggu.

    Dalam usaha untuk meningkatkan kegiatan fizikal di peringkat negara, Yang Berhormat Dato menyatakan kementeriannya telah menerbitkan Garis Panduan Aktiviti Fizikal Kebangsaan edisi kedua, yang dilancarkan pada pertengahan 2022 di mana garis panduan itu mengandungi maklumat serta cadangan-cadangan berasaskan bukti saintifik untuk mengurangkan tingkah laku sedentari yang boleh digunakan sebagai panduan kepada orang ramai.

    “Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan juga telah mengukayahkan kempen secara kolektif sebagai sebuah negara iaitu BN on the Move di mana inisiatif pengiraan langkah dibuat bagi mencapai sasaran langkah yang ditetapkan dari semasa ke semasa.

    “Kempen ini diharapkan dapat meningkatkan kegiatan fizikal dan seterusnya memupuk budaya aktif dalam kalangan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam,” ujarnya.

    Yang Berhormat Dato seterusnya berkata bahawa di samping mengamalkan cara hidup yang sihat, ujian saringan untuk mengesan penyakit kanser pada peringkat awal merupakan satu usaha yang dapat membantu meningkatkan peluang bagi penghidap penyakit kanser menerima rawatan dengan lebih baik dan pulih sepenuhnya.

    Sementara itu, Kementerian Kesihatan melalui BDCR baru-baru ini, telah menerbitkan satu laporan yang julung kalinya iaitu Laporan Penyakit Kanser 20 tahun (2002-2021).

    Pengumpulan data dan penyelidikan yang berterusan itu adalah sangat penting untuk dijadikan sebagai asas bagi penggubal dasar membuat perancangan masa depan dan hala tuju yang lebih teratur dalam meningkatkan pencegahan dan rawatan kanser.

    Yang Berhormat Dato menekankan bahawa penjagaan penyakit kanser secara menyeluruh bukan sahaja mampu mengurangkan kesan kanser malahan beban kewangan dalam kos penjagaan kanser.

    “Oleh yang demikian, marilah kita semua komited dan bekerjasama dalam merapatkan jurang ekuiti agar kita dapat mencapai matlamat kedua dalam Wawasan Brunei 2035 iaitu ‘Kualiti Kehidupan yang Tinggi’,” tambah beliau.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...