30 ahli lembaga pengarah smch angkat sumpah

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Ahli-ahli Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Chung Hwa (SMCH) bagi penggal 2020-2022 telah mengangkat sumpah dalam majlis yang berlangsung di Dewan Darussalam SMCH, di sini, hari ini.

Tahun ini, seramai 30 orang ahli baharu mengangkat sumpah dan menandatangani buku sumpah yang disaksikan oleh Ketua Pengarah, Kementerian Pendidikan, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee selaku tetamu kehormat.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah SMCH, Yang Berhormat Ong Tiong Oh dalam ucapannya menyatakan perasaan amat terharu dan berasa bangga kerana dipilih sekali lagi untuk menerajui Lembaga Pengarah SMCH, Bandar Seri Begawan untuk penggal yang baharu.

Beliau melahirkan rasa bangga dan bersyukur kerana lembaga pengarah sekolah berkenaan dibarisi oleh individu-individu yang memiliki pelbagai kemahiran dan kepakaran serta mempunyai komitmen yang tinggi.

“Justeru, saya penuh yakin bahawa dengan adanya kerjasama yang erat daripada ahli-ahli lembaga pengarah sekolah, pengetua serta guru-guru, maka sekolah ini akan terus memainkan peranan yang penting sebagai institusi pendidikan yang akan berupaya untuk melahirkan lebih ramai lagi generasi muda yang berilmu serta bermoral tinggi,” tekannya.

Hajah Anis Faudzulani bergambar ramai bersama ahli-ahi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Chung Hwa (SMCH) bagi 2020-2022.