Monday, December 5, 2022
22.3 C
Brunei

-

30 ahli pengakap pelajari teknik kayak

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Dengan hasrat untuk mendalami kemahiran dan kecekapan dalam kegiatan yang mencabar ketahanan fizikal dan mental, seramai 30 orang ahli Pasukan Pengakap Kelana 1102 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menyahut cabaran dan berjaya menamatkan latihan kemahiran asas berkayak di laut dari Kompleks Sukan Air Serasa menuju ke Pulau Muara Besar sejauh 4km, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan pengakap tersebut di sini, menyatakan bahawa latihan pengenalan kemahiran asas berkayak anjuran Pasukan Pengakap Kelana 1102 UNISSA, bertujuan bagi memastikan ahli-ahli pengakap dapat mempelajari teknik mengendalikan kayak dengan lebih bersistematik, berkeyakinan terutama sekali mahir dalam aktiviti melibatkan air.

Semasa kegiatan latihan kayak dijalankan, ahli-ahli pengakap tersebut telah dibimbing oleh jurulatih-jurulatih berpengalaman dan diiktiraf dari Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Ahli pengakap telah diberi penerangan cara-cara mengendalikan kayak dengan betul, teknik mendayung dan mengatasi situasi ketika kayak terbalik.

Menurut Jurulatih Pasukan Pengakap Kelana UNISSA, Awang Zainudin bin Haji Ishak, beliau berharap menerusi aktiviti yang dijalankan, ahli-ahli pengakap akan lebih berkeyakinan dalam membuat sesuatu aktiviti yang mencabar fizikal dan mental, bekerjasama antara satu sama lain terutama aktiviti melibatkan kegiatan air.

Di samping itu, jurulatih-jurulatih yang berkemahiran dalam bidang berkenaan dapat menunjukkan kemahiran ketika mengendalikan kayak kepada ahli-ahli pengakap. Aktiviti tersebut merupakan lanjutan daripada kegiatan berkayak di Sungai Temburong yang telah dijalankan pada 8 hingga 10 Disember tahun lalu sejauh 7.5km semasa Kursus Sekapur Sireh bertempat di Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD) di Daerah Temburong.

Kegiatan mencabar itu, terutama berkayak adalah sebahagian daripada syarat-syarat bagi mendapatkan Lencana Cabaran dalam Skim Anugerah Pengakap Kelana.

Manakala pensyarah, Dr Mohammad Alif bin Haji Sismat selaku pemimpin Pasukan Pengakap Kelana 1102 UNISSA turut berharap dengan kejayaan kegiatan berkayak itu, pasukan pengakap akan terus mengadakan kolaborasi bersama JBS bagi meneruskan kegiatan dan latihan kemahiran pada masa akan datang.

Turut hadir menyaksikan latihan berkayak itu ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali; Pesuruhjaya Latihan, Haji Othman bin Durani, Dr Mohammad dan Awang Zainudin.

Ahli-ahli Pasukan Pengakap Kelana 1102 UNISSA semasa mengadakan latihan kemahiran asas berkayak di laut dari Kompleks Sukan Air Serasa, baru-baru ini. – Gambar serahan Pasukan Pengakap Kelana UNISSA
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

ASEAN: Tiga tindakan promosi pembangunan bandar mampan

FUKUSHIMA, 4 DIS – Mesyuarat keempat Peringkat Tinggi Rangkaian Bandar Pintar ASEAN-Jepun bermula di sini hari ini, dengan ASEAN mengetengahkan tiga tindakan utama untuk...

Australia dakwa suspek IS

- Advertisment -