Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan Kementerian Pertahanan
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Seramai 30 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang berkhidmat dalam misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di bawah Batalion Malaysia 850-8, telah pulang ke tanah air pada 3 Disember lalu.
Sebelum kepulangan mereka, anggota ABDB tersebut telah menerima Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-bangsa Bersatu yang disampaikan oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Dato Sri Haji Affendi bin Buang di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 1 Disember.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, pingat berkenaan menandakan kejayaan kontinjen MALBATT 850-8 dalam misi UNIFIL dan penyerahan tugas secara rasmi kepada MALBATT 850-9.
Kepulangan anggota ABDB telah mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam, khususnya di persada antarabangsa dan akan tercatat sekali lagi dalam lipatan sejarah kisah pengorbanan, sumbangan dan khidmat bakti ABDB dalam melaksanakan tanggungjawab kepada negara.
Kontinjen negara yang diketuai oleh Mejar Zulazri bin Gapor telah disambut oleh Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat pada majlis yang diadakan di kawasan hadapan Blok Menara Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diikuti dengan pembukaan lencana dan sesi bergambar ramai.