Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Seramai 30 orang graduan cemerlang telah diberikan penghargaan dan diraikan dalam Majlis Penghargaan dan Doa Kesyukuran bagi Graduan Cemerlang Biasiswa Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Tahun 2022 dan 2023 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah penghargaan kepada para graduan yang diraikan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah Pengajian Islam, Haji Shamshol bin Haji Omar menyatakan bahawa 1 November merupakan hari bersejarah bagi perkembangan perkhidmatan pendidikan agama di Negara Brunei Darussalam dengan bermulanya perubahan dasar yang sangat signifikan iaitu Pelaksanaan Pengintegrasian Mata Pelajaran Agama ke Dalam Sistem Pendidikan Umum khususnya melibatkan pelajar-pelajar peringkat darjah pra hingga 3 sekolah agama.
“Semoga Allah SWT mentaufikkan kita sekaliannya untuk melaksanakan perubahan ini dengan penuh amanah agar dapat mencapai hasrat bagi melahirkan pelajar-pelajar berpengetahuan, berakhlak mulia dan terus berpegang teguh dengan nilai-nilai murni agama Islam,” tambahnya.
Mengulas mengenai matlamat majlis berkenaan, Haji Shamshol menyatakan ia merupakan tanda kesyukuran atas kejayaan para graduan yang diraikan dan memberikan pengiktirafan kepada kecemerlangan akademik dan usaha gigih graduan-graduan di sepanjang tempoh pengajian yang telah diikuti.
Ia juga merupakan satu insentif kepada para graduan yang diraikan dan motivasi kepada mahasiswa-mahasiswi lain yang masih salam pengajian supaya akan teris mempertingkatkan usaha dan pencapaian akademik mereka dari semasa ke semasa.
Melalui pelaksanaan majlis itu, tambahnya, dihasratkan sebagai salah satu inisiatif dalam mendukung Rancangan Strategik KHEU 2020-2024 dalam bidang strategik pendidikan agama/Arab berkesan dalam merealisasikan dan mendukung salah satu matlamat dalam Wawasan Brunei 2035 iaitu melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.
Daripada jumlah graduan yang diraikan pada majlis itu, tujuh telah menamatkan pengajian pada 2022 dan 23 lagi telah menamatkan pengajian mereka pada 2023.