30 guru bakal terima hukuman

HONG KONG, 11 DIS – Biro Pendidikan (EDB) kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong sedang mempertimbangkan langkah menghukum guru kerana salah laku profesional yang berkaitan dengan kekacauan sosial, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap biro itu.

Jurucakap EDB berkata pelanggaran tata kelakuan guru telah dikesan dalam 30 dari 106 kes yang disiasat biro itu sejak Jun tahun ini.

Sebagai model peranan yang penting untuk pelajar, kata-kata dan perbuatan guru hendaklah sesuai dengan moral komuniti dan jangkaan profesional, katanya.

Langkah EDB itu dibuat susulan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai peranan guru dalam kekacauan sosial yang berpanjangan serta insiden ganas memandangkan lebih ramai pelajar terbabit dalam aktiviti haram sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Kira-kira 40 peratus daripada 6,022 orang ditahan bagi kesalahan termasuk mengadakan perhimpunan haram, mengambil bahagian dalam rusuhan dan memiliki senjata sejak Jun merupakan pelajar, kata polis. Daripada sejumlah 12 orang yang ditahan pada Isnin pagi, enam merupakan pelajar manakala seorang lagi merupakan guru.

Polis merampas cecair mudah terbakar dan botol kaca yang boleh digunakan untuk membuat bom petrol selain peralatan untuk menghalang jalan termasuk paku dan penghalang buatan sendiri. EDB telah meminta agar guru yang ditahan pada Isnin digantung tugas, kata jurucakap itu.

Beliau berkata EDB akan mengikuti setiap kes yang berkaitan dengan guru, yang jika sabit kesalahan, mungkin berdepan pembatalan pendaftaran mereka. – Bernama