30 kanak-kanak Pusat Ehsan dirai

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Seramai 30 kanak-kanak Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), penjaga mereka dan guru-guru pusat berkenaan telah diraikan pada majlis berbuka puasa anjuran Hotel Mulia di Dewan Caesar, Hotel Mulia, kelmarin.

Hadir bagi mengalu-alukan para jemputan ialah Pengurus Perhubungan Awam dan Pemasaran, Brandon Tay; Pengurus Operasi, Molly Bong; dan ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Ehsan, Pengiran Haji Abdul Latiff dan Audrey Choo Wah. Acara terlebih dahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diikuti dengan penyampaian derma oleh Brandon Tay dan penyampaian cenderahati oleh ahli-ahli kakitangan kanan Hotel Mulia.

Pengurus Besar Hotel Mulia, Jake Goh berkata kakitangan dan pasukan Hotel Mulia berbesar hati kerana dapat memberikan kegembiraan kepada anak-anak istimewa tersebut pada bulan suci ini dan mereka merasa tidak ketinggalan dalam meraikan Hari Raya yang bakal menjelang.

Brandon Tay menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
Antara yang hadir pada majlis berbuka puasa anjuran Hotel Mulia baru-baru ini.