30 menderma darah dalam kempen anjuran Sukarelawan Belia

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Sukarelawan Belia dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah Brunei sekali lagi menganjurkan kempen menderma darah yang berlangsung di Dewan Arena, Stadium Tertutup bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari ini.

Seramai 30 orang telah menderma darah pada kempen kali ini yang merupakan kali keempat diadakan oleh Sukarelawanan Belia di mana, secara keseluruhannya lebih 200 orang telah menderma darah.

Antara tujuan kempen adalah untuk membantu Pusat Pendermaan Darah bagi mengumpulkan stok darah yang semakin berkurangan disebabkan pertambahan penggunaan darah berikutan wabak COVID-19 yang melanda negara ini.

Salah seorang penderma darah yang sempat ditemui Media Permata, Haji Abdullah bin Haji Muncit, 66, berkata bahawa beliau mula menderma darah sejak 1970 lagi. Sehingga sekarang beliau masih menderma darah untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT jua, saya terus dapat berbakti untuk membantu Pusat Pendermaan Darah dan membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Beliau juga berkata, sejak 1970 hingga 2020, ini merupakan kali ke-182 beliau menderma darah di mana beliau menderma darah sebanyak enam kali setahun. Menurutnya, sebelum
menderma darah, pemeriksaan doktor adalah harus bagi memastikan tahap kesihatan adalah baik.

Kempen derma darah bagi Daerah Brunei dan Muara akan diadakan lagi pada 16 Julai ini, manakala itu, bagi Daerah Temburong pula akan diadakan pada 21 dan 22 Julai yang dijangka berlangsung di Dewan Serbaguna, Kem Latihan PKBN, Temburong pada pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk sama-sama menderma bagi membantu menambah bekalan darah bagi tabung darah Hospital RIPAS.

Sebarang maklumat dan pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian 8976814 atau 8898445.

Haji Abdullah memberitahu bahawa beliau telah menderma darah sebanyak 182 kali sejak tahun 1970.
Antara yang menderma darah di Stadium Tertutup.