Thursday, February 20, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    30 pain darah berjaya dikumpulkan

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 17 April – Dalam masa tiga jam kempen derma darah berlangsung di Dewan Serbaguna Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Bolkiah hari ini, lebih 30 pain darah telah berjaya dikumpulkan.

    Kempen anjuran bersama Kementerian Kesihatan dan Pusat Tabung Darah itu mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan pelajar dan juga warga kampus berkenaan.

    Ia diadakan untuk membantu menambahkan tabung darah di negara ini, dalam masa yang sama membantu pesakit-pesakit yang memerlukannya dari semasa ke semasa.

    Kebanyakan pelajar yang menyertai kempen berkenaan adalah merupakan penderma darah kali pertama dan rata-rata mereka menyatakan perasaan takut pada mulanya kerana menyangka ia menyakitkan atau pening dan sebagainya.

    Akan tetapi setelah selesai proses pengambilan darah, mereka begitu gembira kerana bukan saja tidak terasa sakit tetapi kerana dapat menyumbang bakti kepada mereka yang memerlukan.

    Pemeriksaan kesihatan yang perlu dijalani sebelum mendermakan darah.
    Pemeriksaan kesihatan yang perlu dijalani sebelum mendermakan darah.
    Antara pelajar yang menyumbangkan darah semasa Kempen Derma Darah yang diadakan di  IBTE Kampus Sultan Bolkiah.
    Antara pelajar yang menyumbangkan darah semasa Kempen Derma Darah yang diadakan di  IBTE Kampus Sultan Bolkiah.

    “InsyaAllah, kami akan menyertai lagi menyumbangkan darah jika diadakan kempen-kempen derma darah, di masa-masa akan datang,” kata mereka.

    Seperti lazimnya, sebelum dilakukan proses pengambilan darah, para penderma akan terlebih dahulu diperiksa kesihatan dan mengambil sarapan pagi yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan yang ditaja oleh sebuah syarikat swasta.

    Kempen seperti ini merupakan sebahagian daripada inisiatif IBTE untuk membantu pihak hospital bagi menambahkan lagi simpanan tabung darah bagi keperluan masyarakat terutama pesakit-pesakit yang memerlukannya.

    Antara kelebihan menderma darah termasuklah boleh membantu menggantikan darah dengan sel-sel darah baru yang segar selepas menderma, menyebabkan badan si penderma kekal sihat, berfungsi dengan lebih cekap, dan bekerja dengan lebih produktif, selain ianya juga boleh membakar kalori.

    Bagaimanapun menderma darah mempunyai had iaitu menderma sekali dalam dua atau tiga bulan, bergantung kepada status kesihatan, serta ia boleh mengurangkan risiko sakit jantung dan sebagainya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda