Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – GHK Motors Sdn Bhd dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini, telah menganjurkan kempen derma darah di Bilik Pameran Ibu Pejabat GHK Motors, di Beribi.
Sebanyak 30 pain darah telah berjaya dikumpulkan dalam kempen yang berlangsung dari 9 pagi hingga 11:30 pagi berkenaan dengan disertai oleh kakitangan GHK Motors dan orang awam.
Kempen itu merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (SCR) GHK untuk memberi sokongan dan mewujudkan kesedaran terhadap masyarakat yang memerlukan darah.
GHK Motors merancang untuk menjalankan kempen derma darah sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun sebagai aktiviti SCR mereka.
Salah seorang penderma darah, Awang Noy, 40, semasa ditemui menyatakan menderma darah adalah bagus untuk kesihatan.
“Kalau boleh dalam setahun itu dua kali saya menderma darah,” tambah beliau yang juga merupakan seorang pemandu di GHK Motors.
Awang Noy turut menyarankan orang ramai untuk menderma darah selagi mampu.
“Ianya bukan sahaja untuk kesihatan diri sendiri, tetapi juga untuk orang lain yang memerlukannya,” jelasnya lagi.
Seorang lagi penderma, Awang Ahmad Imtiaz, semasa ditemu bual mengongsikan bahawa ini merupakan kali pertama beliau menderma darah sejak kali terakhir pada dua tahun yang lalu.
“Saya sangat bersyukur juga kerana di syarikat ini sendiri (GHK) ada mengadakan kempen seperti ini. Ia sangat memudahkan untuk saya menderma sekali lagi. Saya juga berharap kempen seperti ini diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.