30 pelajar UNISSA lawat PenBorneo

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Seramai 30 orang pelajar Tahun 3 dan 4 Program Tahfiz dan Qiraat Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) di bawah Fakulti Usuluddin telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Pengkajian Borneo (PenBorneo), Pusat Sejarah Brunei di Anggerek Desa, hari ini.

Antara objektif program lawatan berkenaan adalah untuk memberi peluang kepada pelajar untuk melihat lebih dekat naskhah-naskhah manuskrip dan mushaf yang disimpan di PenBorneo di samping menambahkan ilmu pengetahuan mengenai manuskrip secara umumnya.

Pensyarah UNISSA, Dr Ahmad Bahar bin Moktar yang mengetuai lawatan tersebut ketika ditemu bual menjelaskan, lawatan sambil belajar ke pusat berkenaan lebih memfokuskan kepada manuskrip dan mushaf untuk memberi peluang kepada pelajar mempelajarinya.

“Jika ada bahan-bahan manuskrip yang terdapat di PenBorneo menjadi perhatian dan minat kami untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi, kami akan cuba untuk membuat kajian terhadap manuskrip berkenaan,” tambahnya.

Dalam lawatan itu, taklimat mengenai koleksi manuskrip PenBorneo dan asas pemeliharaan rekod manuskrip telah disampaikan oleh Pegawai Sejarah PenBorneo, Dayang Mardiah binti Haji Ramli dan Awang Muhd Hefni bin Mahari.