30 rumah musnah terbakar

PERTH, AUSTRALIA, 9 OKT – Kira-kira 500 anggota bomba bergelut memadam kebakaran hutan yang tidak terkawal di timur Australia yang telah memusnahkan kira-kira 30 buah rumah.

Lebih 40 kebakaran belukar berlaku di seluruh negeri New South Wales. Suhu sejuk hari ini selepas angin kencang dan panas membahang menyekat usaha anggota bomba kelmarin.

Lebih 100,000 hektar telah terbakar dengan kampung kecil Rappville, penduduk 250 orang, antara yang paling teruk terjejas. Kira-kira 50 orang berlindung di sekolah semalaman.

Timbalan Pesuruhjaya Perkhidmatan Bomba Luar Bandar NSW, Rob Rogers berkata beberapa orang telah dibawa ke hospital akibat kebakaran ringan dan kesukaran bernafas. Bilangan mangsa ce-dera tidak dinyatakan dan takat kemusnahan kebakaran masih lagi dipastikan.

“Kami hanya akan memastikan apa kemudahan yang telah musnah atau rosak, orang ramai juga dipastikan selamat dan mengekalkan kawasan tersebut selamat seboleh yang kami mampu oleh itu orang ramai yang rumah mereka tidak musnah boleh pulang,” katanya.

“Bekalan elektrik juga masih belum pulih dan terdapat banyak pokok tumbang oleh itu banyak kerja yang perlu dilakukan,” tambahnya.

Perdana Menteri Scott Morrison berkata ia situasi yang sangat berbahaya. “Nasib baik, tiada korban jiwa, yang mana ia sesuatu yang selalu disyukuri, namun masih ada ancaman serius hari ini,” katanya. – AP

Penduduk tempatan masuk ke dalam keretanya dekat belukar terbakar di Busbys Flat, Australia pada 9 Oktober. – AP