30 terbunuh serangan di pangkalan udara Yaman

DUBAI, 29 OGOS – Serangan di pangkalan udara terbesar di Yaman hari ini mengorbankan sekurang-kurangnya 30 tentera pro-kerajaan dan mencederakan ramai lagi, menurut sumber perubatan yang menuduh pemberontak Huthi yang disokong Iran melakukan serangan tersebut.

Serangan dilakukan di pangkalan udara Al-Anad, kira-kira 60 kilometer di utara bandar kedua Yaman, Aden, di selatan negara yang dilanda konflik.

Pangkalan udara itu berfungsi sebagai markas bagi tentera AS yang mengawasi perang dron yang telah lama beroperasi terhadap Al-Qaeda sehingga mereka menarik diri pada bulan Mac 2015, tidak lama sebelum Huthi menguasai wilayah tersebut.

“Lebih daripada 30 terbunuh dan sekurang-kurangnya 56 lagi cedera” dalam serangan di pangkalan udara di wilayah selatan Lahij yang dikuasai kerajaan, kata jurucakap angkatan bersenjata Mohammed al-Naqib kepada AFP.

Rakaman video daripada tempat kejadian menunjukkan puluhan orang berkumpul di hadapan hospital Lahij, di mana ambulans satu demi satu berhenti untuk menurunkan mangsa. Seorang pegawai hospital berkata semua kakitangan diarahkan untuk bertugas. – AFP