300 delegasi bakal sertai ISB BGIC

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Kira-kira 300 delegasi dari lebih 25 buah sekolah di seluruh Negara Brunei Darussalam akan mengambil bahagian dalam Persidangan Isu Borneo Global Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB BGIC) kali ke-16 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. Persidangan dianjurkan oleh Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) dan akan berlangsung dari 7 hingga 9 Mac.

Dalam satu sidang media yang dianjurkan di kampus ISB pagi tadi, penganjur telah memperkenalkan penceramah utama tahun ini, Darren Tan dan Chloe King untuk persida-ngan nanti.

Menurut kenyataan yang diterima, Darren Tan ialah peneraju bagi Education and Community Outreach di ComCrop, Singapura dan Chloe King selaku pengasas bersama bagi sebuah syarikat yang menjalankan usaha untuk membenteras sisa makanan yang berpusat di Washington D.C akan mengongsikan bersama kepada para delegasi ISB BGIC tentang kepentingan bagi sama-sama menjaga dan memelihara kesejahteraan serta kelestarian alam sekitar.

Chloe King dalam sidang media menjelaskan bahawa generasi muda merupakan generasi yang paling bertenaga dan sungguh berinspirasi untuk melakukan perubahan pada dunia ini.

Turut hadir pada sidang media selaku penaja utama ISB BGIC adalah wakil dari Jabatan Komunikasi Korporat Bank Baiduri Berhad, Awang Muiz bin Dato Paduka Haji Adnan manakala bagi pihak Progresif Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Strategi Jenama, Dayang Hafiza Mohamad.

Pihak penganjur dan penaja semasa hadir pada sidang media yang diadakan pagi kelmarin.

Selain itu, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd juga merupakan penaja utama untuk acara tahun ini.

Bercakap pagi pihak Baiduri, Awang Muiz berkata “Persidangan merupakan program yang hebat yang dirancang oleh belia dan untuk belia, demi pembangunan dan kemajuan Brunei.”

Sementara itu, Dayang Hafiza dari Progresif berkata bahawa tahun ini merupakan tahun keenam berturut-turut Progresif menjadi penaja ISB BGIC. Beliau menjelaskan bahawa sokongan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan usaha syarikat untuk memberikan balik kepada komuniti.

Bercakap pagi pihak pelajar, setiausaha agung persidangan berkenaan, Chelsea Lim berkata apa yang paling menarik menjadi seorang pemimpin adalah apabila melihat orang yang dilatih menjadi pemimpin yang cemerlang.”

Juga hadir pada sidang media pagi tadi ialah Pengetua Eksekutif ISB, Laura Thomas; dan ISB BGIC Coordinator, Jane Snell.

Pada tahun ini ISB BGIC menumpukan kepada 11th Sustainable Development Goal (SGD11) dan membawa tema Youths Call for more Sustainable Cities and Communities.

ISB BGIC merupakan persidangan tahunan di mana para pelajar akan menyertai dan mewakili negara-negara berlainan dari seluruh dunia untuk mengongsikan pandangan mereka terhadap isu dunia yang dihadapi pada masa ini seperti mana yang dilakukan dalam Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Persidangan berkenaan merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan untuk menambah kefahaman para pelajar mengenai kewarganegaraan global dan mempertingkat kemahiran bercakap di khalayak umum serta kemahiran mengendalikan perundingan mereka.