Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN 9 Mac – Berikutan dengan pengumuman mengenai penyelarasan dan perubahan kepada kadar-kadar cukai import dan eksais yang akan berkuat kuasa 1 April 2017, taklimat penerangan mengenainya telah diadakan di Dewan Teater, Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.
Kira-kira 300 orang wakil perusahaan-perusahaan dan orang ramai hadir mendengarkan taklimat tersebut yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kewangan, Awang Ahmaddin bin Haji Abd Rahman.
Taklimat tersebut juga mengetengahkan beberapa orang jurucakap/ahli panel yang terdiri daripada Pemangku Pengawal Kastam, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Kewangan, Awang Mohammad Mu’inuddin Chin bin Abdur Rahman; Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Dr Haji Supry bin Haji Ladi; Penguasa Perubatan, Jabatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Dr Justin Wong; Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan, Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar; dan wakil dari Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Dayang Nurulizzati binti Haji Zahari.
Antara lain objektif pindaan kadar cukai import dan cukai eksais berkenaan adalah bagi mengemaskinikan struktur cukai barangan di negara ini yang akan dapat mendukung beberapa objektif utama.

Objektif-objektif utama berkenaan antaranya adalah bagi meningkatkan daya saing iklim perniagaan dan pelaburan negara di samping memenuhi komitmen-komitmen tertentu di bawah perjanjian-perjanjian perdagangan bebas (FrAs) dengan beberapa buah negara sama ada secara dua hala atau berbagai hala.
Pengemaskinian berkenaan turut menyasarkan beberapa produk tertentu yang mempunyai beberapa matlamat antaranya meringankan kos sara hidup terutama bagi golongan-golongan sasaran, menyasarkan penurunan harga bagi barangan tertentu bagi menggalakkan penggunaannya dan pada masa yang sama untuk mengawal penggunaan barangan tertentu dengan matlamat untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini.
Maklumat lanjut mengenai perubahan kadar-kadar cukai ini boleh diperolehi daripada laman sesawang Jabatan Kastam dan Eksais Diraja www.bdnsw.gov.bn atau www.tradingacrossborders.gov.bn atau menghubungi terus Jabatan Kastam dan Eksais Diraja melalui talian 2382361.