300 pek hidangan disumbangkan menerusi Dapur Sosial SCOT

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – UOB Brunei dan UOB Asset Management Brunei (UOBAM Brunei) telah bekerjasama dengan Dapur Sosial Society for Community Outreach and Training (SCOT) untuk menyumbangkan sebanyak 300 pek hidangan kepada petugas-petugas barisan hadapan COVID-19 di seluruh negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UOB Brunei dan UOBAM Brunei di sini, pengagihan pek hidangan berkenaan dilaksanakan bermula 10 September lalu hingga hari ini di lima buah kemudahan penjagaan kesihatan iaitu Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Pusat Persidangan Antarabangsa BRIDEX, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Sukarelawan Belia dan Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Temburong.

Dapur Sosial SCOT melancarkan program petugas barisan hadapan COVID-19 pada 17 Ogos lalu dengan matlamat untuk menyediakan sebanyak 120 pek makanan kepada petugas-petugas barisan hadapan COVID-19 setiap hari.

Makanan berkenaan dimasak dan disediakan oleh ibu-ibu yang tidak dapat kembali bertugas dalam pekerjaan sepenuh masa kerana perlu menjaga anak-anak damit mereka.

Dapur Sosial membolehkan mereka untuk menjana pendapatan sambil memberi sokongan kepada pekerja-pekerja yang diperlukan. Sukarelawan belia juga terlibat menyampaikan pek hidangan berkenaan kepada petugas-petugas barisan hadapan.

Pengurus Negara UOB Brunei, Abdul Razak bin Abdul Malek menyatakan bahawa di UOB, mereka bermatlamat untuk melakukan perubahan dalam masyarakat di mana mereka beroperasi.

“Kami gembira kerana dapat bekerjasama dengan rakan-rakan sejawat dari UOBAM Brunei serta juga Dapur Sosial SCOT untuk memberi makan dan galakan kepada pekerja-pekerja penjagaan kesihatan negara yang berada di barisan hadapan menangani pandemik,” ujarnya.

Manakala itu, Pengurus Besar UOBAM Brunei, Kamal bin Haji Muhammad menyatakan bahawa sumbangan hida-ngan daripada UOBAM Brunei dan UOB Brunei itu mencerminkan komitmen mereka untuk berdiri bersatu dengan masyarakat.

“Menerusi sokongan kami bagi petugas-petugas barisan hadapan, kami dapat memainkan peranan dalam menyumbang kepada usaha negara dalam mengatasi krisis dan bersama, kita akan dapat melihat ke hari-hari yang lebih baik,” tambah beliau.

Sumbangan pek hidangan daripada UOB Brunei dan UOBAM Brunei dengan kerjasama Dapur Sosial SCOT yang disampaikan kepada pekerja-pekerja penjagaan kesihatan di Hospital RIPAS. – Gambar serahan Dapur Sosial SCOT