300 pelajar terima sumbangan buku

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Seramai 300 pelajar yang memerlukan menerima bantuan berupa buku di mana setiap pelajar mendapat sekurang-kurangnya tiga buah buku setiap seorang menerusi Projek Buku Amal yang dijalankan oleh Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM).

Seramai 40 orang pelajar yang memerlukan di Sekolah Rendah Sultan Abdul Bubin, Sungai Besar telah menerima agihan buku berkenaan pada majlis yang diadakan di sekolah berkenaan, kelmarin.

Hadir pada majlis pengagihan buku berkenaan ialah Presiden MKM, Yusof Halim. Turut hadir ialah Guru Besar Sekolah Rendah Sultan Abdul Bubin, Haji Mat Dani bin Haji Abu Bakar.

Dalam majlis berasingan di Sekolah Rendah Haji Mohd Salleh Sungai Hanching, hadir bagi menyampaikan buku-buku berkenaan kepada 30 orang pelajar ialah Naib Presiden MKM, Hajah Juhana binti Haji Jaya.

Juga hadir pada majlis berkenaan ialah Guru Besar Sekolah Rendah Haji Mohd Salleh Sungai Hanching, Hajah Dayang Nursirinah Eloi Abdullah.

Para pelajar berkenaan juga merupakan penerima skim sarapan pagi di mana MKM memberikan makanan untuk sarapan pagi kepada 300 orang pelajar yang memerlukan di setiap sekolah yang terpilih.

Projek Buku Amal yang dijalankan selama sebulan dalam bulan Ramadan lalu itu hasil kerjasama dengan DBookHaus yang membolehkan para penderma membeli buku untuk pelajar yang memerlukan.

Semua buku telah diperiksa untuk memastikannya sesuai untuk usia pelajar yang terdiri daripada buku Bahasa Melayu dan Inggeris, sama ada buku motivasi atau cerita bertema Islam.

Walau bagaimanapun pengagihan buku-buku tertangguh disebabkan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara ini.