Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    300 sertai Konvensyen Pemimpin-pemimpin Sekolah

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Kementerian Pendidikan terus berusaha untuk mencapai aspirasi negara dalam Wawasan Brunei 2035 iaitu menjadi sebuah negara yang dikenali dengan pencapaian rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

    Ia dinilai melalui standard antarabangsa tertinggi, kualiti kehidupan dalam kalangan 10 buah negara teratas di dunia serta sebuah ekonomi yang dinamik dan mampan.

    Oleh itu, Konvensyen Pemimpin-pemimpin Sekolah bermatlamat untuk mencapai Matlamat Strategik 1 Kementerian Pendidikan iaitu untuk mentransformasikan sumber manusia dalam organisasi ke arah sebuah budaya berpandukan prestasi.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Marina Chek binti Bujang dalam kata alu-aluannya pada Konvensyen Pemimpin-pemimpin Sekolah ke-5, 2023 yang berlangsung di Dewan Persidangan Bridex, Jerudong, hari ini.

    Hadir dan menyempurnakan pelancaran Garis Panduan Blended Learning, MOE TV dan Sistem Pengurusan Sumber-sumber Digital (DRMS) ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Mohd Salleh.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah bersama antara yang hadir pada Konvensyen Pemimpin-pemimpin Sekolah ke-5, 2023 di Dewan Persidangan Bridex, Jerudong, kelmarin.
    Dayang Marina ketika menyampaikan kata alu-aluannya.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr Shamsiah Zuraini Kancahawati binti Haji Tajuddin, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, dan pemimpin-pemimpin sekolah Kemen-
    terian Pendidikan.

    Dayang Marina seterusnya berkata, konvensyen yang membawa tema ‘Pemimpin Berkualiti, Pendidikan Berkualiti’, dengan sub-tema ‘Penilaian’ itu merupakan kesinambungan kepada Konvensyen Pemimpin Sekolah yang diadakan pada November 2022.

    Konvensyen yang diadakan setiap tahun itu, jelasnya, menggambarkan usaha berterusan kementerian dalam memastikan koheren sistemik menerusi pihak-pihak yang berkepentingan luaran dan dalaman yang mampan serta kukuh dalam Kementerian Pendidikan untuk menyokong dan terlibat sama dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif pendidikan.

    Majlis kemudian menyaksikan Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyempurnakan pelancaran buku panduan, MOE TV dan DRMS sebelum ucaptama bertajuk Could Assessment be Reconceptualised to Better Serve Learning yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Australia bagi Penyelidikan Pendidikan (ACER), Profesor Geoff Masters.

    Profesor Geoff Masters merupakan pakar dalam bidang pendidikan khususnya penilaian dan mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas dalam reformasi kurikulum dan penilaian.

    Beliau mengongsi penyelidikan dikendalikannya mengenai penilaian yang dilaksanakan oleh negara-negara yang mempunyai sistem persekolahan yang mencatatkan pencapaian yang baik dalam kajian penilaian antarabangsa.

    Beliau turut menekankan salah satu dapatan daripada penyelidikan yang melihat kepada prosedur penilaian ialah semua negara mampu untuk melakukan lebih baik dalam menggunakan penilaian bagi menyokong pembelajaran pelajar termasuk dalam kalangan negara-negara yang menunjukkan prestasi tinggi berkenaan.

    Pembentangan ucaptama berkenaan dihasratkan dapat menyediakan panduan, pandangan dan perspektif yang menarik apabila membangunkan rangka kerja penilaian kebangsaan serta melaksanakan penilaian berkualiti di dalam sekolah-sekolah.

    Majlis turut menyaksikan pembentangan mengenai Rangka Kerja Penilaian Pelajar yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Peperiksaan, Awang Shahrizal bin Haji Emran.

    Konvensyen berkenaan dihadiri lebih 300 orang peserta terdiri daripada pemimpin sekolah rendah, menengah, maktab dan pusat tingkatan enam kerajaan dan swasta Kementerian Pendidikan serta KHEU.

    Konvensyen dua hari itu bertujuan untuk mengukuhkan kesepaduan sistemik dalam Kementerian Pendidikan dan bersama pihak-pihak berkepentingan melalui penglibatan dan sokongan yang kukuh dan mampan.

    Ia juga merangkumi peningkatan akauntabiliti bersama antara jabatan-jabatan dan sekolah-sekolah dalam pelaksanaan inisiatif Kementerian Pendidikan, pengukuhan kapasiti dan kompetensi pemimpin sekolah serta pengiktirafan kepada sumbangan dan pencapaian sekolah-sekolah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...