300 sertai program GAP maya

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Sebagai komitmennya untuk membantu para graduan memulakan kerjaya mereka, Bank Baiduri telah mengadakan Hari Terbuka Maya bagi pengambilan kedua Program Perantis Graduan (GAP), kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, seramai 300 orang peserta menghadiri acara itu yang diadakan untuk menyediakan peluang kepada calon-calon yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program berkenaan serta memberikan peluang kepada mereka bagi berinteraksi dengan kumpulan pertama perantis mengenai pengalaman mereka.

Mereka juga berpeluang untuk mendapatkan pandangan sepintas lalu mengenai keadaan kehidupan kerja di dalam Kumpulan Bank Baiduri.

Para perantis dengan bimbingan rakan-rakan sejawat dan mentor mereka, menganjurkan acara serta aktiviti-aktiviti yang diadakan pada majlis itu termasuk mengetengahkan pelbagai pembentangan, kuiz interaktif dan sesi kumpulan fokus di mana para peserta berpeluang untuk mengemukakan soalan.

GAP merupakan program pembangunan dan pembelajaran holistik selama enam bulan yang bertujuan untuk menyediakan para graduan baharu dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang diperlukan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran pekerjaan tempatan.

Antara yang menghadiri Hari Terbuka Maya bagi pengambilan kedua GAP. – Gambar serahan Bank Baiduri

Lebih 270 permohonan telah diterima semasa pengambilan kumpulan pertama bagi program berkenaan pada awal 2021 dan setelah proses pemilihan yang meliputi penilaian bertulis dan sesi temu duga, kumpulan bank berkenaan telah mengalu-alukan seramai 11 orang perantis ke dalam program itu pada April lalu.

Pada masa ini, tiga orang perantis telah ditawarkan pekerjaan tetap dengan kumpulan bank, manakala yang lain telah memperoleh temu duga dengan syarikat-syarikat lain.

Kenyataan menyatakan bahawa Ketua Pentadbiran dan Sumber Manusia Kumpulan, Veronica Chong yang menghadiri hari terbuka maya berkenaan, mengulas mengenai program itu di mana beliau berkata bahawa GAP menyediakan para graduan dengan pendedahan meluas kepada persekitaran pekerjaan dunia sebenar dan pada masa yang sama, membantu mereka untuk membina kemahiran lembut yang boleh dimanfaatkan dalam mana-mana persekitaran pekerjaan.

Menurutnya, kumpulan perantis pertama mereka telah melakukan tugas yang cemerlang bukan sahaja dalam menganjurkan acara itu tetapi juga dalam projek-projek lain serta tanggungjawab yang diberikan kepada mereka.

“Mereka telah memperoleh pengalaman langsung pe-ngurusan projek dan saya amat gembira untuk melihat bertapa banyak mereka telah pelajari dan berkembang dalam tempoh tujuh bulan kebelakangan ini,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa para perantis dijadualkan untuk menamatkan program perantis mereka pada September lalu tetapi telah bersetuju untuk melanjutkan tempohnya bagi menyumbang idea mereka serta menyokong rakan-rakan sejawat dalam peralihan mereka kepada bekerja jarak jauh.

Manakala itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dalam kata alu-aluannya mengucapkan tahniah kepada para perantis dan mengulas bagaimana GAP merupakan satu bukti kuat komitmen kumpulan bank berkenaan untuk menyokong para graduan baharu dengan membantu mereka membangunkan kemahiran kebolehkerjaan dan sebuah pemikiran pembelajaran.

Semua itu, ulasnya adalah dalam menyokong matlamat 1 bagi Wawasan Brunei 2035 yang mencerminkan aspirasi negara untuk dikenali bagi sebuah tenaga kerja yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.