300 tan minyak tumpah

JOHOR BAHRU, 4 Jan – Dua buah kapal kontena berlanggar di timur Selat Johor di luar pelabuhan Pasir Gudang malam tadi yang mengakibatkan tumpahan minyak dianggarkan sebanyak 300 tan.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat yang mengesahkan kejadian itu berkata kejadian yang berlaku kira-kira 11:01 malam itu melibatkan dua kapal kontena iaitu APL Denver dan Wan Hai.

“Kapal Han Wai dilaporkan telah mengalami kerosakan terputus bekalan elektrik menyebabkan kapal tidak boleh dikawal dan akhirnya melanggar bahagian tangki (milik APL Denver),” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pelanggaran itu telah mengakibatkan sejumlah minyak tumpah dari tangki milik APL Denver.

Menurut Ayub, hasil pemantauan awal Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan kebanyakan tumpahan itu memasuki kawasan perairan Singapura terutama Pulau Ubin.

Sebuah kesan lekuk (dalam bulatan) jelas kelihatan di badan kapal kontena APL Denver akibat dilanggar sebuah lagi kapal kontena Wan Hai yang mengalami kerosakan ‘power failure’ dalam kejadian pelanggaran di Pelabuhan Johor. Pelanggaran itu telah menyebabkan tumpahan minyak dari tangki kapal APL Denver sehingga memasuki kawasan perairan Singapura terutama Pulau Ubin. – Bernama

JAS kini sedang membuat siasatan ke atas kedua-dua kapal terbabit.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Pelaburan Johor (LPJ) pula berkata pasukan mereka sudah berada di lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden.

Beliau juga berkata segala tindakan awal telah diambil, namun mereka masih menantikan laporan penuh daripada pihak terlibat serta pihak berkuasa.

Menurut laporan media Singapura hari ini, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dilaporkan sebagai berkata kapal Wan Hai 301 didaftarkan di republik itu manakala APL Denver didaftarkan di Gibraltar.

Laporan berita itu juga berkata tumpahan minyak akibat kerosakan pada tangki APL Denver itu dianggarkan kira-kira 300 tan. – Bernama