3,000 pelajar Greece tunjuk perasaan

ATHENS, 1 OKT – Polis antirusuhan di Athens hari ini menembak gas pemedih mata pada belia yang melontar bom api pada mereka semasa satu bantahan oleh pelajar berhubung risiko koronavirus di sekolah.

Pertempuran di antara polis dan pembantah meletus di luar parlimen tatkala kira-kira 3,000 orang, kebanyakannya pelajar sekolah tinggi, menunjuk perasaan, kata wartawan AFP di tempat kejadian.

Ratusan sekolah di seluruh negara ditutup akibat mogok itu, dengan pelajar membantah terhadap keputusan kementerian pendidikan untuk membenarkan kelas sehingga 30 pelajar pada masa jangkitan koronavirus semakin meningkat.

Hampir 400 orang telah maut di Greece akibat virus sejak Februari, dengan kadar jangkitan meningkat mulai bulan Ogos. Parti pembangkang telah mengkritik kerajaan, berkata bilik darjah yang sesak adalah bertentangan dengan peraturan penjarakan sosial. Kementerian pendidikan berkata kurang daripada lima peratus kelas di seluruh negara adalah penuh.

Kumpulan pelajar juga menolak rancangan kementerian untuk melaksanakan pembelajaran dalam talian di sekolah yang ditutup akibat mogok, berkata kebanyakan sekolah kekurangan infrastruktur yang diperlukan. – AFP

Pembantah mengadakan tunjuk perasaan berhubung risiko koronavirus di sekolah di Athens kelmarin. – AFP