3,000 pempamer luar talian sertai CIIE

KUALA LUMPUR, 9 NOV – Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) Keempat, pameran antarabangsa terbesar dengan sokongan kerajaan China yang dianjurkan secara hibrid di Shangai bermula 5 hingga 10 Nov, telah menarik penyertaan 3,000 pempamer luar talian dari 127 negara dan rantau ini untuk menyertai Pameran Perniagaan.

Ia dihoskan China International Import Expo Bureau National Exhibition and Convention Center (Shanghai) Co Ltd.

Ekspo itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Perdagangan China dan Kerajaan Perbandaran Shanghai. Rakan niaga yang terlibat termasuk Pertubuhan Perdagangan Dunia, Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Pembangunan Industri PBB.

Pihak penganjur menerusi kenyataan hari ini berkata CIIE yang diperkenalkan oleh kerajaan China sejak 2018 terus berfungsi sebagai platform penting untuk China membuka dan meningkatkan kerjasama ekonomi antarabangsa dan perdagangan bebas.

Semasa pameran terkini yang membawakan rangkaian industri yang lebih luas, mereka berkata CIIE turut menarik minat tiga pertubuhan antarabangsa dan 58 negara dari lima benua, khususnya yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan untuk menyertai Pameran Negara Secara Dalam Talian.

“Jumlah keluasan kawasan pa-meran CIIE pada tahun ini telah diperluas kepada 366,000 meter persegi yang menyaksikan lebih 80 peratus daripada Fortune Global 500 dan syarikat peneraju industri yang menyertai edisi CIIE tahun lepas untuk kembali mempamerkan produk mereka.

“Syarikat ini termasuk tiga syarikat lelongan terkemuka dunia, tiga kumpulan fesyen dan barang mewah guna habis terkemuka, empat peniaga bijirin terkemuka, 10 kumpulan kereta terkemuka dan 10 perusahaan peranti perubatan terkemuka,” menurut para penganjur. – Bernama