30,000 hilang tempat tinggal di Idlib

KHAN SHAYKHUN, 11 Sept – Keganasan di barat laut Syria menyebabkan lebih 30,000 penduduk kehilangan tempat tinggal pada bulan ini sahaja, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam, sambil memberi amaran bahawa serangan berterusan akan mencetuskan bencana kemanusiaan terburuk abad ini.

Wilayah Idlib dan kawasan berhampiran membentuk sebahagian besar wilayah masih dalam penguasaan kumpulan pemberontak Syria yang semakin longgar, susulan kejayaan tentera kerajaan sejak beberapa bulan lalu.

Presiden Bashar al-Assad kini menumpukan perhatian ke atas Idlib, dan anggota tenteranya meningkatkan serangan pengeboman di wilayah padat penduduk itu sejak awal bulan ini.

Ia menyebabkan anggaran 30,452 penduduk kehilangan tempat tinggal di Idlib dan beberapa bahagian di Hama antara 1 dan 9 September lalu, menurut agensi penyelarasan kemanusiaan PBB (OCHA) semalam.

“Kami amat bimbang mengenai peningkatan keganasan, yang menyebabkan lebih 30,000 kehilangan tempat tinggal di sana. Itulah yang kami pantau dengan rapi,” kata jurucakap OCHA, David Swanson.

Gambar pada 10 September 2018 menunjukkan sebuah keluarga dari wilayah Idlib melarikan diri dengan menggunakan lori pikap menuju ke sempadan utara negara itu dengan Turki. – AFP

Ramai menuju ke sempadan utara dengan Turki, dengan cuma separuh berlindung di kem pelarian, manakala yang lain menumpang rakyat tempatan atau menyewa pangsapuri.

Koresponden AFP di Idlib telah melihat berpuluh-puluh keluarga yang kehilangan tempat tinggal menuju ke arah sempadan dalam beberapa hari ini untuk melarikan diri dari serangan.

Semalam, di lebuh raya utama yang melintasi wilayah itu, sekumpulan lelaki bermotosikal menuju ke utara dengan kanak-kanak berjalan kaki, membawa berpuluh-puluh kambing.

Abu Jassim berkata dia dan keluarganya melarikan diri dari serangan pengeboman terbaharu berhampiran bandar selatan Khan Sheikhun, setelah beberapa kali kehilangan tempat tinggal di wilayah itu akibat perang.

PBB mengatakan sebanyak 800,000 orang dijangka akan kehilangan tempat tinggal akibat serangan rejim di Idlib dan kawasan sekitarnya.

Kira-kira tiga juta masih tinggal di zon itu sekarang, manakala kira-kira separuh daripadanya telah kehilangan tempat tinggal susulan perang tujuh tahun tentera rejim, manakala penduduk yang lain sangat bergantung pada bantuan kemanusiaan untuk terus hidup. – AFP