305 kes baharu COVID-19 dicatat, 2,311 masih aktif

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Sebanyak 305 lagi kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam yang menjadikan keseluruhan kes wabak koronavirus seramai 9,472 orang.

“Daripada jumlah tersebut, terdapat 106 tambahan kes-kes baharu kepada 23 kluster aktif sedia ada hari ini yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Dewan Al-’Afiah, petang ini.

Yang Berhormat Dato turut mengongsikan empat kluster baharu melibatkan 28 kes dikesan di tempat tinggal iaitu Kluster 8660 dan Kluster 8598, serta Kluster Mamih Cafe dan Kluster Takaza Sdn Bhd yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan.

“Tiga kluster telah ditamatkan setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster tersebut selama 28 hari. Kluster-kluster yang tamat ialah Kluster Chung Hua KB, Kluster 2085 dan Kluster 4109. Oleh demikian, jumlah kluster yang aktif adalah 163 kluster,” jelasnya lagi.

Sementara itu, terdapat 171 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa berucap pada sidang media petang kelmarin. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Yang Berhormat Dato turut mengongsikan 217 kes telah disahkan sembuh hari ini yang membawa jumlah keseluruhannya sebanyak 7,097 kes, manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,311 kes.

Manakala, dalam kalangan kes yang sedang menjalani rawatan sekarang, sembilan kes dalam kategori 5 dan dirawat di Unit Rawatan Intensif dan memerlukan bantuan mesin pernafasan dengan tiga daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, 26 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi,” tambahnya.

Selain itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 6,540 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 413,169 ujian.