Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Seramai 309 orang pegawai dan anggota pangkat rendah Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima Pingat Kerja Lama Polis (PKLP) dalam majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat PPDB, Gadong hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan pingat-pingat berkenaan ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.
Penganugerahan pingat berkenaan merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada para penjawat awam yang telah berkhidmat selama 20 tahun, di samping mempunyai rekod perkhidmatan yang baik.
Pengiktirafan berkenaan juga dapat meningkatkan dan menyuntik motivasi para penerima untuk terus mencurahkan bakti kepada kerajaan dan juga negara.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Awang Sulaiman bin Alidin, para pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan PPDB serta para penerima pingat.