ISLAMABAD, 19 JULAI – Satu kejadian gempa telah menggegarkan kawasan pedalaman timur Afghanistan, mencederakan sekurang-kurangnya 31 orang, menurut kenyataan pegawai Taliban hari ini.
Kejadian gempa tersebut berlaku di wilayah yang sama pada bulan lalu yang telah mengorbankan ratusan orang dan mengakibatkan kebinasaan di mana-mana. Laporan awam mengatakan 10 orang mengalami kecederaan.
Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) kelmarin berkata ukuran gempa adalah 5.1 magnitud.
Abdul Wahid Rayan, pengarah agensi berita Taliban, Bakhtar, berkata gempa berlaku di dua buah daerah di wilayah Paktika bahagian timur negara itu.
Dia berkata 18 orang tercedera di Gayan dan 13 lagi di daerah Ziruk.
“Wanita dan kanak-kanak adalah antara yang tercedera,” tambah Rayan.
Berpuluh-puluh kediaman musnah dan berlaku gegaran susulan sejak malam kelmarin, tambahnya.
Gempa kuat berlaku bulan lalu mencetuskan satu lagi krisis di negara yang sedang bergelut itu, sekali gus menunjukkan kemampuan terbatas Taliban.
Pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada masa yang sama berkata 770 orang terkorban, sementara Taliban menyebutkan jumlah kematian adalah 1,150 orang.
Kumpulan bantuan yang terbeban bertungkus-lumus mengagihkan bekalan kepada mangsa gempa bulan lalu, namun kebanyakan negara gagal bertindak dengan pantas kepada gesaan Taliban untuk meminta bantuan antarabangsa.
Bantuan antarabangsa yang telah ditamatkan telah meruntuhkan lagi ekonomi negara itu serta menyebabkan krisis kemanusiaan yang lebih teruk.- AP