MANILA, 30 MAC – Sekurang-kurangnya 31 orang maut dan 230 orang diselamatkan selepas kebakaran melanda sebuah feri di selatan Filipina, kata pihak berkuasa hari ini.
Lady Mary Joy 3 dalam perjalanan dari Bandar Zamboanga di Pulau Mindanao ke Pulau Jolo di wilayah Sulu apabila kebakaran berlaku lewat kelmarin, menyebabkan penumpang terjun ke dalam laut, kata pegawai bencana, Nixon Alonzo.
Pasukan penyelamat, termasuk Pengawal Pantai Filipina dan nelayan, menyelamatkan 195 penumpang dan 35 anak kapal ketika kebakaran melan-da feri itu di Pulau Baluk-Baluk, wilayah Basilan.
Gabenor Basilan, Jim Salliman berkata 31 mayat telah ditemui, termasuk 18 yang ditemui di dalam kabin berhawa dingin.
Gambar yang dikeluarkan oleh pengawal pantai menunjukkan salah satu kapalnya menyiram air ke atas feri yang terbakar ketika kakitangan dalam bot yang lebih kecil menyelamatkan penumpang dari air yang gelap.
Anggota bomba Jayson Ahijon, yang merupakan antara penumpang, berkata orang ramai panik apabila api dan asap tebal menyelubungi kapal itu.
Ada yang terjun ke dalam laut sebelum memakai jaket keselamatan.
“Ia di luar imaginasi saya, api merebak dengan begitu pantas,” kata Ahijon, 36.
Ahijon berkata dia dan beberapa pegawai pengawal pantai membantu penumpang lain ke tempat selamat, termasuk anak damit yang mereka masukkan ke dalam baldi dan diturunkan di tepi bot.
Kapten kapal sengaja menyebabkan kapal itu terkandas ketika api merebak “jadi ramai lagi yang boleh selamat kerana lebih mudah untuk berenang ke pantai”, Laksamana Pertama Rejard Marfe dari Pengawal Pantai Filipina memberitahu AFP.
Salliman berkata sekurang-kurangnya tiga orang kanak-kanak, termasuk anak damit berusia enam bulan, adalah antara yang maut.
Pihak berkuasa juga berkata 14 orang cedera.
Tidak dapat dipastikan berapa ramai yang masih hilang. Salliman berkata jumlah penumpang kapal itu melebihi 205 yang disenaraikan dalam manifes kapal itu. – AFP