31 menara baharu perkhidmatan 4G di Sarawak dalam pelaksanaan

KUALA LUMPUR, 23 SEPT – Sebanyak 31 menara baharu untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar mudah alih 4G sedang dalam peringkat pelaksanaan di Sarawak bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan di negeri itu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata semua menara itu dijangka siap dan beroperasi secara berperingkat bermula suku pertama 2021.

Menurutnya di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang diumumkan 29 Ogos lepas, sejumlah 636 menara baharu akan dibina di Sarawak.

“Pembinaan menara-menara berkenaan dijalankan menerusi program Perkhidmatan Pemberian Sejagat (PPS) bagi memperluas liputan jalur lebar mudah alih dengan teknologi 4G, manakala 1,043 alat pemancar komunikasi sedia ada akan dinaik taraf melalui program PPS.

“Selain itu, pihak pemain industri juga akan membina 49 menara baharu serta menaik taraf 825 alat pemancar komunikasi sedia ada secara komersial,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Zahidi berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Zaiedi Suhaili yang mahu tahu prestasi liputan terkini perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi semua daerah di Sarawak dan sejauh mana usaha dipergiatkan untuk merapatkan jurang digital negeri itu dengan Lembah Klang.

Sementara itu, Zahidi berkata perhatian turut diberikan kepada perkhidmatan jalur lebar talian tetap di Sarawak dengan sejumlah 43,013 premis kediaman dan komersial akan tersedia dengan capaian Internet melalui teknologi gentian optik, dan jumlah itu akan diselaraskan dari semasa ke semasa. – Bernama