31 nelayan asing, 3 kapal ditahan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2017 – Seramai 31 orang nelayan asing ditahan oleh pihak berkuasa kerana didapati menjalankan kegiatan menangkap ikan secara haram di perairan negara.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, Kapal Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) KDB DARUSSALAM yang sedang membuat rondaan telah menemui dua lagi kapal nelayan asing sedang menjalankan kegiatan penangkapan ikan secara haram di perairan negara.

“Kapal nelayan asing yang pertama ditemui pada malam 30 September 2017 manakala kapal nelayan asing yang kedua ditemui semasa KDB DARUSSALAM dalam perjalanan balik menuju ke Teluk Brunei pada pagi 1 Oktober 2017.

“Seramai 19 orang nelayan asing didapati di dalam dua buah kapal berkenaan. Kedua-dua buah kapal serta kesemua nelayan asing itu dibawa balik dan diserahkan kepada Polis Marin Pasukan Polis Diraja Brunei untuk tindakan lanjut,” kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu,semasa rondaan rutin pada 29 September 2017, KDB DARUSSALAM juga telah menahan sebuah kapal nelayan asing bersama 12 orang nelayan dan menyerahkan mereka kepada Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei.

Dengan penahanan kapal-kapal asing berkenaan, diharap akan memberi amaran bahawa aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Negara Brunei Darussalam dianggap serius oleh pihak berkuasa, kata Kementerian Pertahanan.