31 pain darah dikumpul

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Sebanyak 31 pain darah berjaya dikumpulkan dalam kempen menderma darah yang diadakan di Universiti Teknologi Brunei, kelmarin.

Kempen yang dikendalikan dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) itu telah menyaksikan penglibatan para mahasiswa dan mahasiswi di universiti berkenaan dalam memberikan sumbangan bagi membantu mereka yang memerlukan.

Kempen berkenaan bertujuan untuk memberi sokongan dan menggalakkan generasi muda terutama sekali mahasiswa dan mahasiswi universiti untuk turut sama-sama membantu masyarakat dalam menyumbangkan dan menambah simpanan darah di Hospital RIPAS.

Aktiviti seumpama itu diharap akan dapat meningkatkan kesedaran dan mendidik generasi muda untuk menyalurkan bantuan dengan mendermakan darah sekali gus membantu pesakit yang memerlukannya.

Para penderma yang menyertai kempen berkenaan turut diberikan hadiah cenderahati sebagai tanda penghargaan.

Antara mahasiswa yang turut serta mendermakan darah pada kempen derma darah tersebut.