31 terima sijil tamat Kursus Asas Dakwah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Kursus Asas Dakwah yang disertai seramai 31 orang pegawai dan kakitangan Pusat Dakwah Islamiah (PDI) yang berkhidmat di jabatan berkenaan di bawah 10 tahun telah berakhir hari ini dengan majlis penutup di Bilik Al Mau’izhah, Bangunan Darul Huda, PDI.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Kursus empat hari itu merupakan salah satu rancangan tahunan Bahagian Penyebaran Dakwah (Kursus), PDI yang antara lain berobjektif untuk mempertajam dan memantapkan serta memperkasa dakwah ke arah yang lebih berkesan dan berjaya.

Selain itu juga untuk memberikan informasi baharu serta meningkatkan lagi ilmu dakwah dalam kalangan para peserta kursus khususnya warga PDI yang menjadikan dakwah kepada bukan Muslim sebagai urusan teras jabatan.

Ia juga diadakan untuk mengekalkan kualiti dan mengaplikasikan dakwah dan metodologi dakwah dalam kalangan warga PDI secara berterusan sehingga membudayakan dalam kehidupan kerja di jabatan khasnya dan kepada masyarakat umumnya di samping sebagai platform yang berkesan dalam menilai kualiti dakwah dan kelangsungannya dalam menyebarkan dan memberi kefahaman amalan beragama di negara ini serta perkongsian pengalaman dengan para daie yang terdahulu agar dapat diserapkan kepada daie muda.

Dengan adanya kursus ini, ia diharap akan meningkatkan kefahaman, mengulang kaji pengetahuan yang sedia ada, agar ia dapat diamalkan dalam kehidupan dan menghayati ajaran Islam dengan penuh keyakinan serta ketakwaan kepada Allah SWT.

Haji Abdul Rajid ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta Kursus Asas Dakwah.