3,105 mendaftar di PPK

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Usaha kerajaan menangani masalah peningkatan pengangguran mendapat sambutan cukup menggalakkan di mana seramai 3,105 pencari kerja telah mendaftarkan diri di Pusat Pembangunan Kapasiti (PPK) sepanjang tempoh lima hari ‘Capacity Building Market Day’ dijalankan dan berakhir hari ini.

Setakat jam 4.37 petang tadi, seramai 3,105 pencari kerja terdiri daripada 963 perempuan dan 2,142 lelaki telah mendaftarkan diri bagi 13 program yang disediakan semasa ‘Market Day’ di PPK di Lambak Kanan.

Daripada jumlah tersebut, seramai 1,158 datang untuk mengesahkan pendaftaran selepas menunjukkan minat mereka semasa sesi maklumat bagi PPK yang diadakan sebanyak 29 kali setakat ini oleh JobCentre Brunei (JCB) sepanjang bulan Jun lalu, semasa pencari kerja dimaklumkan mengenai program yang ada dan syarat kemasukan.

Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar berkata, sambutan orang ramai pada hari terakhir juga kelihatan sangat baik.

Menurut Yang Berhormat Pehin, ini adalah peluang keemasan yang diberikan oleh PPK di mana ia boleh mendidik dan memberikan kemahiran kepada pencari pekerjaan.

Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin melawat beberapa pondok yang ada semasa ‘Capacity Building Market Day,’ kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin melawat beberapa pondok yang ada semasa ‘Capacity Building Market Day,’ kelmarin.

Dengan adanya kemahiran itu, mereka boleh merebut peluang-peluang pekerjaan yang ada, katanya semasa temu bual media di sini.

Beliau turut menekankan agar belia-belia tempatan supaya menukar minda mereka untuk berani menceburi bidang kerjaya yang lebih mencabar dan beliau yakin dengan adanya latihan yang disediakan oleh pusat berkenaan, ia akan dapat membantu mendapatkan kerja dan mereka dapat menghadapi segala cabaran dengan lebih mudah.

“Ada sesetengah yang berfikiran negatif dalam usaha kerajaan untuk mengatasi masalah pengangguran, angka pengangguran akan meningkat setelah lebih ramai orang memasuki pasaran kerja. Dengan cara positif dan membuat apa yang perlu adalah cara untuk menangani masalah pengangguran,” ujar Yang Berhormat Pehin sambil menambah bahawa usaha ‘Capacity Building Market Day’ ini akan diadakan lagi pada Januari depan.

Selain itu, Yang Berhormat Pehin juga menyeru agar institusi-institusi pendidikan swasta di negara ini menyediakan kursus-kursus yang sebanding dengan tawaran kerja yang diperlukan oleh industri, untuk diselaraskan dengan keperluan tenaga kerja di negara ini.

“PPK ini diharap akan dapat memberi peluang pekerjaan kepada lebih 2,800 pada 2018 di mana bagi 2017, seramai 1,000 peluang pekerjaan dapat dijana dari pusat berkenaan,” ujarnya.

Para belia tempatan yang berjaya untuk menyertai latihan di pusat berkenaan, akan menerima latihan dalam kursus masing-masing di antara tiga hingga enam bulan di mana selepas latihan, mereka akan menjadi tenaga kerja yang sedia untuk diserapkan dalam industri (industry ready).

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, PPK dijangka mula beroperasi pada September nanti di mana mereka yang berjaya untuk memasuki dan memulakan latihan di pusat itu, akan diberikan tawaran pekerjaan bersyarat, (Conditional Offer of Employment) di mana selepas latihan mereka sudah mempunyai majikan yang bersedia untuk mengambil mereka bekerja.

‘Capacity Building Market Day’ bermula dari 26 Julai dan berakhir hari ini dengan Majlis Penyampaian Penganugerahan ‘Tawaran Pekerjaan Bersyarat’ (CEO) dan ‘Registered Training Organisations’ (RTO) kepada wakil-wakil syarikat dari PPK yang disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Perindustrian) di JPM, Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah.

PPK, Lambak Kanan terletak di kawasan bekas Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.

‘Capacity Building Market Day’ bertujuan untuk mendaftarkan para pelatih ke program tersebut dan memberi peluang kepada pelatih berpotensi untuk memahami dan mempelajari lebih lanjut mengenai pelbagai program ditawarkan oleh pusat berkenaan melalui demonstrasi kerja yang memberikan para pelatih untuk mengambil pengalaman awal dan berinteraksi dengan ahli kakitangan industri berpengalaman.

Daripada 3,105 yang berdaftar, lebih 700 daripadanya bekerja, selain dari mendaftar ke dalam program yang disediakan, pencari kerja tempatan juga berpeluang untuk mendaftar dan mengaktifkan akaun e-Darussalam.

Suasana semasa ‘Capacity Building Market Day’ kelmarin.
Suasana semasa ‘Capacity Building Market Day’ kelmarin.

Bagi pencari kerja yang tidak berjaya untuk mendaftarkan dalam apa jua program di PPK semasa ‘Market Day’, mereka juga boleh mendaftar melalui www.ei.gov.bn/ppk yang mana pusat berkenaan merancang untuk mengambil lebih banyak pengambilan bagi menyalurkan tenaga yang memerlukan iaitu industri dan pencari kerja.

Program yang ditawarkan oleh PPK itu membolehkan pencari kerja, tidak kira latar belakang bukan-teknikal akan diberi kemahiran semula (reskill) dan untuk mendapatkan kelayakan yang diperlukan oleh industri. Lepasan PPK akan menerima sijil diiktiraf oleh industri tempatan dan antarabangsa,

Tanpa mengira latar belakang, para pencari kerja sama ada warganegara atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam perlu sihat dari segi perubatan dan fizikal (medically and physically fit) dan telah menamatkan pengajian sekurang-kurangnya Tahun 9, untuk melayakkan mereka memasuki program ini.

Kurikulum direka dengan pembelajaran teori di dalam kelas 10 peratus dan 90 peratus lagi melalui latihan kemahiran praktikal. Pengambilan pertama dijangka bermula pada bulan September 2017 bagi Kursus Scaffolder, Rigger, Pemandu Kenderaan Berat, Blaster Painter, Steelcraft, Woodcraft, Mason/Plasterer, Insulator dan Marker Fitter/Riveter.

Kursus lain yang ditawarkan ialah Pengimpal, Instrument Mechanic, Electrical Mechanic and Mechanic Fitter dan program bukan teknikal seperti layanan dan program berorientasikan perkhidmatan.

Bagi pengambilan bulan September 2017, fasiliti baru akan dibina di mana kerja-kerja sudah pun bermula. Ini untuk memastikan kepada orang ramai termasuk ibu bapa dan penjaga pelatih bahawa mereka akan dilatih dalam persekitaran yang selamat.

Fasa awal pusat tersebut akan bermula dengan program pembinaan yang selaras dengan permintaan industri. Sebanyak 2,836 tawaran pekerjaan yang akan ditawarkan bagi pencari kerja tempatan untuk bekerja di dalam syarikat terhadap projek-projek dijalankan oleh Hengyi Industries Sdn Bhd di Pulau Muara Besar.

Pusat tersebut mempunyai kapasiti sehingga 852 pelatih bagi pengambilan pertama di bulan September dan Disember. Pembesaran kapasiti pusat tersebut akan bermula pada Januari 2018, yang akan membolehkan lebih ramai penduduk tempatan mengisi tawaran-tawaran pekerjaan dalam projek Hengyi bersama dengan FDI lainnya dan projek-projek industri lainnya.

Pusat berkenaan akan menghasilkan sekurang-kurangnya 3,000 graduan dari 13 program pada 13 Disember 2018.

Pelatih pusat akan diberikan dengan elaun latihan bulanan sebanyak $300 bagi pelatih dengan kelayakan TVET dan ke bawah; $500 bagi pemegang HND. Setelah menamatkan kursus, graduan pusat tersebut akan ditetapkan kerja dan akan menerima tambahan $300 bagi pelatih kelayakan TVET dan $500 bagi pelatih mempunyai sijil HND bagi tempoh 3 tahun. Bagi pemegang sarjana muda, para pelatih akan di masukkan ke dalam Program i-Ready.