Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Sempena Hafl Al-Takharruj ke-12 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), seramai 318 orang bakal graduan universiti itu telah diraikan dalam majlis khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran yang berlangsung di Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam (UBD), kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Muaz Azizi bin Haji Shamshir, graduan Program Sarjana Muda Usuluddin (Tahfiz & Qira’at) dan kemudian diikuti dengan bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Naas beramai-ramai oleh bakal graduan UNISSA.
Acara kemudian diikuti dengan bacaan Takhtim oleh mahasiswa UNISSA dan disudahi dengan bacaan Doa Khatam oleh Awang Abdul Hafiz bin Haji Abdul Kadiroshman, graduan Program Sarjana Muda Syariah (Fiqh & Kehakiman).
Majlis diserikan laungan Dikir Marhaban dan berakhir dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena Hafl Al-Takharruj ke-12 UNISSA.
Turut hadir bagi meraikan majlis tersebut ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin; Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, penolong-penolong rektor dan pegawai-pegawai utama UNISSA.