Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Dengan hasrat untuk mendalami kemahiran dan kecekapan dalam pelbagai kegiatan yang mencabar ketahanan fizikal dan mental, seramai 32 orang ahli Pasukan Pengakap Kelana 1102 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menyahut cabaran dan berjaya menamatkan latihan kemahiran asas berkayak di laut, baru-baru ini.
Semasa latihan itu, para peserta berkayak dari Kompleks Sukan Air Serasa menuju ke Pulau Bedukang sejauh 5km, perjalanan pergi balik.
Dianjurkan Pasukan Pengakap Kelana 1102 UNISSA, ia bertujuan untuk memastikan ahli-ahlinya dapat mempelajari teknik mengendalikan kayak dengan lebih bersistematik, terperinci dan berkeyakinan terutama mahir dalam kegiatan aktiviti air.
Semasa kegiatan itu, para peserta telah dibimbing oleh jurulatih-jurulatih berpengalaman dan diiktiraf dari Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Para peserta telah diberi penerangan ketika mengendalikan kayak dengan betul, teknik mendayung dan mengatasi situasi ketika kayak terbalik.
Jurulatih Pasukan Pengakap Kelana UNISSA, Awang Zainudin bin Haji Ishak berharap dengan melakukan aktiviti itu, ahli-ahli Pengakap Kelana UNISSA akan lebih berkeyakinan dalam membuat sesuatu aktiviti yang mencabar fizikal dan mental, bekerjasama antara satu sama lain terutama sekali yang melibatkan kegiatan air.
Aktiviti mencabar dilakukan, terutama berkayak, sebahagian daripada kehendak dan kemahiran bagi mendapatkan Lencana Cabaran dalam skim Anugerah Pengakap Kelana.
Terdahulu sebelum memulakan kegiatan berkayak itu, para peserta telah menjalankan kempen kebersihan sempena program Hari Pembersihan Sedunia 2022 yang disambut pada setiap 17 September di seluruh dunia dengan kegiatan membersihkan serta mengumpul sampah-sarap bekas makanan dan botol-botol minuman plastik yang bertaburan di persekitaran kawasan Kompleks Sukan Air, Serasa.
