Friday, October 11, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    32 guru hadiri taklimat industri pelancongan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Kira-kira 32 orang guru yang terbabit dalam subjek pelancongan dan penggembaraan dari sekolah-sekolah menengah dan maktab kerajaan telah menghadiri taklimat mengenai industri pelancongan di negara ini yang berlangsung di Bilik Kuliah Nombor 2, Sekolah Menengah Katok (SMK), baru-baru ini.

    Taklimat telah disampaikan oleh tiga orang pegawai dari Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan iaitu Dayang Rita Suzanty Andry, Dayang Adilah binti Rahman dan Awang Affandi bin Haji Alias.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, taklimat berkenaan adalah sebahagian daripada aktiviti perkembangan profesional guru yang dirancang oleh Subject Based Committee Travel and Tourism.

    Ia bertujuan untuk memahami industri pelancongan dan inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan dalam mempromosi pelancongan di Negara Brunei Darussalam.

    Melalui taklimat berkenaan, guru-guru mata pelajaran Travel and Tourism diharap akan dapat menggunakan maklumat yang diperolehi untuk diterapkan dalam pengajaran mereka.

    Dalam taklimat berkenaan, antara perkara yang disentuh adalah mengenai maklumat industri pelancongan secara am, produk pelancongan yang ditawarkan oleh agensi pelancongan, jenis pelancongan di Brunei, peluang pekerjaan dalam industri hospitaliti dan pelancongan dan inap desa (homestay). Di akhir taklimat, sesi soal jawab turut diadakan.

    Subject-Based Committee adalah sebuah komiti yang mempunyai ahli yang terdiri daripada guru-guru dari sekolah menengah dan maktab kerajaan, sekolah Arab dan sekolah swasta.

    Jawatankuasa berkenaan merupakan platform bagi guru-guru berkongsi strategi pengajaran dan amalan terbaik dan menyediakan bahan-bahan yang bersesuaian seperti nota, soalan latihan, persediaan mengajar dan sebagainya bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

    Setiap sekolah menengah dan maktab kerajaan dilantik oleh Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan untuk menjadi tuan rumah untuk satu mata pelajaran. Pada masa ini sekolah tuan rumah bagi mata pelajaran Travel and Tourism adalah Sekolah Menengah Awang Semaun.

    Di majlis berkenaan, Timbalan Pengetua Pentadbiran SMK, Hajah Siti binti Haji Pungut telah menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada penyampai-penyampai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda