32 maut dalam rusuhan penjara Tajikistan

DUSHANBE, Tajikistan, 20 Mei – Kira-kira 32 orang terbunuh dalam rusuhan penjara di Tajikistan, termasuk 24 anggota kumpulan Islamic State dan tiga pengawal, kata pihak berkuasa hari ini.

Lima banduan dan tiga pengawal pada awalnya dibunuh oleh banduan-banduan dalam rusuhan yang meletus malam semalam dan yang lain terbunuh dalam pertempuran bersama pasukan keselamatan yang cuba untuk menenangkan keadaan, kata kementerian keadilan dalam satu kenyataan. Penjara itu terletak di Vakhdat, 17km timur bandar Dushanbe dan menempatkan 1,500 banduan.

Kementerian berkata perusuh mula-mula menikam mati tiga pengawal dan kemudian lima banduan lain ‘untuk menakut-nakuti’ yang lain.

Mereka kemudian menjadikan banduan lain sebagai tebusan sebelum melepaskan tembakan dalam kemudahan perubatan penjara tersebut.

“Berikutan operasi tindak balas, 24 anggota kumpulan ini terbunuh dan 35 yang lain ditangkap. Para tebusan telah dibebaskan dan keadaan sudah menjadi tenang, menurut kenyataan.

Dua banduan dibunuh perusuh merupakan aktivis terkenal dari kumpulan pembangkang yang diharamkan, Parti Pembaharuan Islam Tajikistan, kata perkhidmatan penjara tempatan.

Di antara ketua-ketua rusuhan itu, pihak berkuasa mengenal pasti Bekhruz Gulmurod, anak lelaki bekas ketua pasukan khas Tajik yang menjadi anggota kepimpinan IS di Syria dan dibunuh di sana pada September 2017.

Lelaki berusia 20 tahun itu dihukum penjara hingga 10 tahun pada Julai 2017 kerana cuba untuk menyertai IS di Syria. Dia sebelumnya ditahan di lapangan terbang Dushanbe sebelum menaiki pesawat menuju ke Istanbul.

Pihak berkuasa berkata penjara itu kini berfungsi secara normal dengan ‘situasi terkawal’. – AFP