32 perdengar bacaan Al-Quran

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Seramai 32 belia telah memperdengarkan bacaan mereka pada peringkat saringan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan yang diadakan hari ini dan esok (3 September), di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Musabaqah yang merupakan projek tahunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) itu akan menampilkan 65 orang dengan hanya 30 peserta akan mara ke peringkat separuh akhir, yang akan diadakan pada 18 September.

Penyertaan kali ini melibatkan belia-belia yang berumur antara 15 hingga 30 tahun yang lahir di antara 1 Januari 1990 hingga 31 Disember 2005, dan sebelum ini tidak pernah menjadi johan bagi pertandingan Majlis Tilawah Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa anjuran kerajaan Malaysia atau Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara anjuran KKBS.

Musabaqah yang dikelolakan oleh pihak Jabatan Belia dan Sukan, KKBS itu mula dilaksanakan sejak dari tahun 1980an lagi dan telah berjaya melahirkan ramai qari dan qariah belia yang berkaliber dan seterusnya mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Di samping itu, ia juga berperanan sebagai wadah kepada qari dan qariah belia di negara ini untuk melihat keupayaan dan prestasi masing-masing khususnya dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berlagu atau ‘taranum’.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mempertingkatkan mutu pembacaan Al-Quran dalam kalangan belia di negara ini, memupuk dan menyemai rasa persahabatan dalam kalangan peserta belia melalui program keagamaan dan sebagai persediaan bagi pemilihan wakil negara ke Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara anjuran KKBS.

Musabaqah tersebut terbuka kepada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atau penduduk tetap yang memegang kad pintar warna ungu serta tidak memegang pasport negara asing.

Seorang peserta perempuan ketika memperdengarkan bacaannya pada peringkat saringan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan, kelmarin.
Salah seorang qari memperdengarkan keupayaannya melantunkan bacaan Al-Quran untuk mara ke peringkat seterusnya.
Antara peserta yang menyertai Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan peringkat saringan.