32 tamat kursus marsyal bomba

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 FEB – Seramai 32 orang pegawai dan kakitangan dari Jabatan Perikanan telah mengikuti Kursus Marsyal Bomba selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Februari lalu di Jabatan Perikanan, Serasa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, kursus itu dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam Cawangan Operasi A, JBP.

Para peserta kursus diberikan pendedahan tentang pentingnya keselamatan kebakaran secara teori dan praktikal mengenai sebab dan punca berlakunya kebakaran, mengetahui akan tindakan apabila menghadapi insiden kebakaran di tempat kerja dengan membuat latihan pengosongan bangunan secara sistematik, tatacara penggunaan alat-alat pemadam api dan selimut api serta tatacara untuk menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam bangunan apabila berlakunya kebakaran.

Para peserta juga mengadakan lawatan ke Balai Bomba Muara bagi mengetahui fungsi dan peranan sebagai bomba wanita serta mengenali perkakas-perkakas dan peralatan bomba.

JBP dalam kenyataan itu juga menyatakan bahawa jabatan berkenaan ada menyediakan program-program keselamatan seperti taklimat Keselamatan Umum Life Saver 995 dan Kursus Marsyal Bomba bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.

Kenyataan turut menyatakan bahawa jika berlaku kecemasan, orang ramai boleh menghubungi Talian Kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

ATAS & BAWAH: Para peserta diberikan tunjuk cara untuk menyelamatkan mangsa dalam kejadian kebakaran dan gambar ramai peserta bersama pegawai dan anggota bomba dan penyelamat semasa Kursus Marsyal Bomba yang berlangsung di Jabatan Perikanan, Serasa. – Gambar serahan JBP