32 tan metrik udang dieksport ke China

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Pengeksportan pertama produk beku udang putih iaitu udang laut spesis Litopenaeus vannamei dari ternakan kolam mula dieksport ke Republik Rakyat China pada 13 September lalu dan pengeksportan itu di lakukan oleh Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd.

Pengeksportan tersebut juga hasil dari penandatanganan protokol yang di panggil Protokol Antara Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) Negara Brunei Darussalam dan Protokol Pentadbiran Umum Kastam Republik Rakyat China mengenai Keperluan Pemeriksaan, Kebersihan dan Penjagaan Haiwan untuk Produk Akuatik Ternakan yang Diimport dari Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China.

Penandatanganan protokol itu ditandatangani bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 19 Julai lalu oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong.

Pengeksportan pertama bagi produk beku udang putih sebanyak 32 tan metrik itu menggunakan perkhidmatan kapal laut bagi memenuhi permintaan import sebanyak 320 tan metrik sebulan dari Republik Rakyat China.

Dengan pengenalan spesis udang itu telah membolehkan pengusaha akuakultur udang laut untuk meningkatkan produktiviti ladang iaitu penghasilan sebanyak 31.7 tan metrik setahun, jika dibandingkan dengan prestasi keluaran ladang ternak udang laut dalam kolam sebelum ini iaitu 16.4 tan metrik setahun bagi udang rostris.

Peningkatan prestasi tersebut juga telah membolehkan Syarikat Golden Corporation menghasilkan sebanyak 3,000 tan metrik udang laut pada tahun 2020 dan keluaran syarikat juga dijangka meningkat sebanyak 33 peratus pada tahun 2021.

Mengikut perangkaan Jabatan Perikanan, KSSUP, nilai keluaran kasar industri akuakultur telah meningkat sebanyak 223 peratus pada tahun 2020 berbanding pencapaian tahun 2015 iaitu bernilai $32.4 juta pada tahun 2020 berbanding $10 juta pada 2015.

Dengan peningkatan hasil itu juga boleh menjanjikan bekalan bahan mentah yang konsisten untuk diproses di kilang pemprosesan bagi menghasilkan produk beku seterusnya dieksport.

Adalah dijangkakan, produk beku lain antaranya udang bakara, ikan selungsong, ikan kerapu juga akan dieksport ke Republik Rakyat China.

32 tan metrik produk udang beku dieksport ke Republik Rakyat China.
Produk beku udang putih yang dieksport ke Republik Rakyat China menerusi Syarikat Golden Corparation Sdn Bhd pada 13 September lalu.