Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Setakat jam 12 tengah hari, tiada kes baharu telah dicatatkan dan menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 147 orang dan dua kes masih aktif.
Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 (170 hari yang lalu), di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah tujuh kes.
Pengemaskinian status terkini tersebut telah dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan melalui Siaran Akhbar Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini.
Selain itu, Kementerian Kesihatan turut mengongsikan bahawa sejumlah 282 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala sejumlah 7,295 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.
Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 321 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 66,268 ujian.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.